KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan mengembalikan peranan Menteri Wilayah Persekutuan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKTWPKL) bagi memperkukuh akauntabiliti demokrasi dan memastikan proses kelulusan tanah di ibu negara lebih telus serta bertanggungjawab.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jawatankuasa itu kecewa dan tidak berpuas hati dengan maklum balas kerajaan terhadap syor-syor PAC berhubung pembangunan tanah di Kuala Lumpur khususnya berkaitan pelantikan Pengerusi JKTWPKL.
Menurut beliau, walaupun kerajaan memaklumkan pelantikan pengerusi tertakluk kepada pertimbangan Kabinet, PAC berpandangan, jawatan itu wajar dikembalikan kepada Menteri Wilayah Persekutuan bagi memperkukuhkan akauntabiliti dalam pentadbiran tanah.
“Secara keseluruhannya, PAC melahirkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati terhadap maklum balas yang diberikan terutama melibatkan beberapa perkara.
“Berhubung pelantikan Pengerusi JKTWPKL, PAC mengambil maklum bahawa perkara itu tertakluk kepada pertimbangan Kabinet. Namun, PAC menegaskan jawatan tersebut wajar dikembalikan kepada menteri bagi memperkukuhkan akauntabiliti demokrasi,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Mas Ermieyati turut membangkitkan kebimbangan mengenai ketiadaan penglibatan ahli Parlimen dalam proses berkaitan kelulusan tanah di Kuala Lumpur yang disifatkan sebagai kelemahan ketara dalam aspek tadbir urus.
Katanya, walaupun ahli Parlimen Wilayah Persekutuan mempunyai akses kepada sistem One Stop Centre (OSC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mereka tidak terlibat dalam sebarang mesyuarat berkaitan kelulusan tanah di bawah JKTWPKL.
“Ini bermakna ahli Parlimen tidak mengetahui perkara berkaitan kelulusan tanah kerana mereka tidak terlibat dalam mana-mana mesyuarat berkaitan.
“Kekurangan ketelusan dan perkongsian maklumat menyukarkan ahli Parlimen menjelaskan bantahan berkaitan pembangunan yang dibangkitkan penduduk di kawasan masing-masing,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, PAC turut bimbang kelewatan meminda undang-undang bagi membolehkan pelaksanaan sistem ahli majlis di DBKL akan menjejaskan usaha memperkukuh mekanisme semak dan imbang.
Menurutnya lagi, pembaharuan pentadbiran dalaman semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin ketelusan kerana ia tidak melibatkan perubahan struktur yang lebih menyeluruh dalam DBKL.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menunjukkan iltizam politik yang jelas dengan meneliti semula syor-syor PAC bagi menangani isu tadbir urus pengurusan tanah dan pembangunan di Kuala Lumpur.
“PAC berharap pembaharuan struktur yang menyeluruh diberi perhatian lebih serius oleh kerajaan memandangkan syor penambahbaikan dasar ketika ini sering dikembalikan untuk pertimbangan Kabinet.
“PAC bimbang suara rakyat akan terus diketepikan dan akhirnya memberi kesan kepada kesejahteraan awam secara keseluruhan,” katanya. – MalaysiaGazette
















