Tamim Dahri

KUALA LUMPUR – Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak kini disenaraikan sebagai orang dikehendaki selepas gagal dikesan dan melarikan diri ke luar negara susulan kes merosakkan objek suci Hindu di Langkawi, Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Azli Abu Shah berkata, permohonan pembatalan pasport terhadap individu berkenaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah diluluskan pada 9 Julai lalu.

“Tamim berusia 32 tahun telah didakwa di Mahkamah Majistret Langkawi pada 17 Mac lalu di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan secara ‘In Absentia’ kerana tidak hadir ke mahkamah.

“Sebutan semula kes pada 17 Mei lalu, tertuduh sekali lagi  gagal hadir dan satu waran tangkap telah dikeluarkan oleh pihak mahkamah ke atas individu berkenaan.

“Dalam usaha mengesan tertuduh, polis telah membuat permohonan Notis Merah daripada Interpol dan permohonan itu masih dalam tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azli, mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk sebutan semula kes pada 19 Julai ini.

“Orang ramai dinasihat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini dan menyerahkan sepenuhnya kepercayaan kepada pihak berkuasa dan badan kehakiman,” jelasnya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, polis mengemukakan permohonan kepada Interpol pada 8 Jun lalu bagi mengeluarkan Notis Merah terhadap Tamim Dahri yang dipercayai berada di luar negara.

Pada prosiding 17 Mac lalu, pihak pendakwaan memaklumkan Tamim Dahri dipercayai meninggalkan Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam menuju ke Thailand pada 9 Mac sebelum berlepas ke Riyadh, Arab Saudi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.

Tamim Dahri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan simbol suci penganut Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast