Onn Hafiz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua di Istana Bukit Serene, Johor Bahru. (Gambar fail).

JOHOR BAHRU – Majlis istiadat mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang dijadual berlangsung di Istana Bukit Serene di sini pagi ini ditangguhkan esok.

Penangguhan tersebut dimaklumkan kepada petugas media pagi ini yang memberitahu majlis berkenaan akan diadakan esok, pada waktu yang sama.

Tiada alasan penangguhan majlis berkenaan setakat ini.

Semalam, portal ini melaporkan Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah jawatan Exco bagi penggal baharu dijadualkan berlangsung di Istana Bukit Serene di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Majlis penuh istiadat berkenaan akan menyaksikan barisan kepimpinan baharu pentadbiran negeri mengangkat sumpah simpan rahsia dan menerima watikah pelantikan masing-masing.

Pengamal media turut dijemput membuat liputan di dua pintu masuk istana iaitu di Pintu Mahkota dan Pintu Kolam Air, seawal pukul 9.30 pagi.

Majlis istiadat itu dijangka turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.

Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua.

Pada Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dengan memperoleh 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dipertandingkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast