Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Muhammad Faiz Fadzil.

KUALA LUMPUR – Amanah mendakwa kenyataan Setiausaha Pemuda MCA, Saw Yee Fung berhubung kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membuktikan Pas sendiri menjadi punca tercetusnya persepsi Islamofobia dalam negara.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, kenyataan pemimpin MCA itu memperlihatkan parti berkenaan sendiri berasa gusar dengan kehadiran Pas sehingga terpaksa memberi jaminan kepada pengundi bahawa BN tidak bekerjasama dengan Pas ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Ini jelas menunjukkan bahawa Pas sebenarnya yang menyebarkan Islamofobia sehingga MCA terpaksa berkempen bahawa tiada kerjasama antara BN dan Pas pada PRN Johor.

“Namun di Negeri Sembilan, MCA akhirnya bekerjasama dengan Pas. Keadaan ini dilihat sebagai satu penipuan terhadap rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Faiz berkata, perkembangan itu turut menunjukkan Pas sanggup mengubah pendirian politik demi mendapatkan kuasa, sekali gus membuktikan parti itu tidak konsisten dengan prinsip yang sering dilaungkan.

Menurutnya, Pas sebelum ini meninggalkan Bersatu, kemudian memilih untuk bekerjasama dengan UMNO, sedangkan alasan yang diberikan ialah demi agenda penyatuan ummah.

“Kerjasama politik Pas dan BN ini tidak akan kekal lama. Akhirnya ia akan berpecah dan rakyat juga yang terpaksa menanggung kesan akibat ketidakstabilan politik,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan Pas pernah bekerjasama dengan DAP selepas Pilihan Raya Umum 2008 sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Katanya, ketika itu Pas mempertahankan kerjasama tersebut habis-habisan, namun kini mengambil pendirian bertentangan apabila memilih bekerjasama dengan MCA, selain menolak hubungan dengan DAP.

Mengulas dakwaan Presiden Pas bahawa Pakatan Harapan (PH) menjadi pihak yang menyebarkan Islamofobia, Faiz berkata kenyataan Pemuda MCA sendiri sudah cukup untuk menafikan dakwaan tersebut.

“Hakikatnya, pendekatan Pas yang sering memainkan sentimen agama dan kaum serta kenyataan yang bersifat ekstrem menyebabkan parti bukan Melayu seperti MCA sendiri berasa takut terhadap Pas.

“Islamofobia yang diperkatakan itu berpunca daripada pendekatan Pas sendiri, bukannya disebabkan pihak lain,” katanya.

Beliau berkata, sikap Pas yang sering menyalahkan pihak lain dalam isu berkenaan boleh diibaratkan seperti pepatah Arab, ‘dia yang pukul, dia yang menangis’. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast