KOTA BHARU – Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memberi jaminan akan melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2026/27 selepas menerima pengesahan slot untuk beraksi dalam liga tertinggi bola sepak negara itu.
Presiden KRW FC Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pengurusan, barisan kejurulatihan dan pemain komited membentuk pasukan yang berdaya saing bagi menghadapi cabaran lebih tinggi berbanding Liga Semi Pro A1 musim lepas, selain mengharumkan nama kelab dan Kelantan.
Beliau berkata pengesahan itu amat bermakna buat seluruh warga KRW FC serta penyokong setia yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepada pasukan untuk kembali beraksi di pentas tertinggi bola sepak negara.
“Penyertaan dalam Liga Super juga satu langkah penting ke arah mengembalikan kemeriahan dan kegemilangan bola sepak Kelantan, selain berharap penyokong terus memberikan sokongan padu bagi memperkukuh semula kekuatan pasukan agar mampu bersaing dengan kelab elit lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki turut merakamkan penghargaan kepada Malaysian Football League (MFL) atas peluang yang diberikan kepada KRW FC untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim 2026/27.
KRW FC yang sebelum ini layak secara merit beraksi pada saingan Liga Semi Pro A1, mengesahkan tempat di Liga Super selepas PDRM FC menarik diri.
Mengulas isu sekatan perpindahan, beliau berkata perkara itu kini sedang melalui proses penyelesaian bersama pihak berkaitan, dengan kelab komited memenuhi semua syarat yang ditetapkan serta yakin isu berkenaan dapat diselesaikan mengikut saluran dan prosedur sewajarnya sebelum musim baharu bermula.- BERNAMA















