Mohd Firdaus Mohamed

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) secara rasmi mengumumkan Presidennya Mohd Firdaus Mohamed menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

PBMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Timbalan Presiden Datuk Ramlan Askolani pula menawarkan diri bertanding bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM sempena Kongres FAM Kali Kedua 2026 yang akan berlangsung pada 17 Sept depan.

“Penyertaan kedua-dua pemimpin ini mencerminkan kesediaan PBMM untuk terus menyumbang secara konstruktif kepada kepimpinan FAM serta memperkukuh pembangunan bola sepak Malaysia melalui tadbir urus yang baik, pembangunan akar umbi yang mampan dan kerjasama erat bersama semua ahli gabungan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, PBMM menyeru seluruh ahli gabungan, khususnya persatuan yang juga merupakan ahli gabungan FAM termasuk Persatuan Bolasepak Polis Diraja Malaysia (PB PDRM) dan Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia (PB ATM) memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap pencalonan kedua-dua wakil berkenaan mengikut proses pemilihan yang ditetapkan FAM.

PBMM turut memohon agar setiap ahli gabungan mengadakan kunjungan hormat atau sesi pertemuan dengan presiden serta kepimpinan persatuan bola sepak negeri di negeri masing-masing bagi memperkenalkan visi, aspirasi dan komitmen kedua-dua calon PBMM menjelang Kongres FAM.

Sementara itu, Mohd Firdaus dalam kenyataan sama berkata pencalonan itu bukan untuk mewakili PBMM semata-mata, tetapi berkhidmat kepada seluruh keluarga bola sepak Malaysia.

“FAM memerlukan kepimpinan yang sentiasa mendengar, menghormati dan bekerjasama dengan semua ahli gabungan tanpa mengira saiz atau latar belakang persatuan.

“Saya percaya setiap ahli gabungan mempunyai peranan penting dalam membentuk masa depan bola sepak negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan agenda utama yang ingin dibawa ialah memperkukuh hubungan antara FAM dan ahli gabungan, memperluaskan pembangunan akar umbi, memperkasa pertandingan domestik serta memastikan tadbir urus bola sepak negara terus diperkukuh.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast