Delegasi UMS merakam gambar kenangan bersama mahasiswa dan peserta daripada lapan buah negara.

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi universiti tunggal Malaysia yang menyertai program berprestij SDGs Global Camp 2026 di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Program bertaraf antarabangsa itu menghimpunkan seramai 61 mahasiswa dari lapan negara iaitu Malaysia, Thailand, Amerika Syarikat, Myanmar, Filipina, Indonesia, Vietnam dan Singapura bagi membincangkan isu berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) menerusi kepakaran setiap institusi dalam agenda kelestarian global dan pembangunan komuniti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin berkata, penglibatan tersebut membuktikan peranan aktif UMS dalam memperkasa agenda kelestarian global dan pembangunan komuniti.

Menurut Raman, kerjasama dalam program berkenaan turut memperlihatkan usaha universiti membentuk generasi mahasiswa yang mampu menyumbang secara positif di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF), Stella@Nurul Martini Gontol berkata, penyertaan UMS dalam program pengantarabangsaan itu mampu memperkukuh kemahiran insaniah mahasiswa serta memperluaskan jaringan strategik UMS di peringkat global.

Delegasi UMS terdiri daripada 11 orang wakil yang merangkumi seorang mentor kebajikan, seorang pegawai pengiring dan sembilan mahasiswa Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Non Residen.

UMS turut berbangga apabila mentor akademik UMS, Kueh Boon Hee diberi kepercayaan membimbing Bidang Pembelajaran 1 bertajuk Learning, Work and Future in Inclusive Cities.

Beliau juga mengendalikan sesi kelas berkredit Research-Based PCM Approach for Green Mindset Change in International Youths Through BORNEENSIS Living Lab for ESD.

Sesi tersebut penting untuk meningkatkan pemahaman peserta terhadap pengetahuan berkaitan isu kelestarian serta kaedah merangka penyelesaian hijau berasaskan penyelidikan.

Pengisian program tersebut termasuklah kuliah bertema, lawatan komuniti di Chonburi dan Chachoengsao, bengkel kebudayaan Thailand serta pembentangan prototaip inovasi.

Program yang berlangsung selama 12 hari itu juga mendapat sokongan penuh daripada PNRF, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) serta Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS.

Penglibatan aktif mahasiswa JAKMAS Non Residen UMS dalam program itu mengekalkan reputasi UMS sebagai universiti yang komited melahirkan graduan berdaya saing serta memainkan peranan penting dalam memacu agenda kelestarian dan pembangunan komuniti di peringkat global. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast