GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang membongkar kegiatan eksploitasi manusia dan sindiket penipuan pekerjaan (job scam) menerusi beberapa serbuan berasingan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Timur Laut semalam, termasuk menyelamatkan seorang wanita warga Cameroon yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, dalam operasi pertama kira-kira jam 7 malam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dengan kerjasama D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menyerbu sebuah premis di Jalan Utara, Berapit, Bukit Mertajam.
Beliau berkata, serbuan dijalankan susulan laporan polis yang diterima daripada seorang wakil komuniti Cameroon di Malaysia berhubung seorang wanita warga negara itu yang dipercayai dikurung dan dieksploitasi di daerah Seberang Perai Tengah.
“Hasil serbuan berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Cameroon berusia 25 tahun serta menahan 29 warga asing terdiri daripada 20 lelaki dan sembilan wanita yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibawa dari Kemboja ke Malaysia melalui laluan tidak sah selepas bekerja dengan sindiket berkenaan selama hampir setahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dennis Lim berkata, mangsa dipercayai diperdaya dengan tawaran pekerjaan, tidak dibayar gaji selain pergerakannya dikawal.
Katanya, mangsa hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit sekali sehari sebelum berjaya menghubungi ahli keluarganya di Cameroon untuk mendapatkan bantuan, manakala pasportnya turut dipegang oleh sindiket.
Beliau berkata, seorang lelaki warga Taiwan yang dipercayai bertindak sebagai majikan dan pengendali kegiatan itu ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Seramai 28 lagi warga asing ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala mangsa diselamatkan di bawah Seksyen 44 ATIPSOM.
“Polis turut merampas sejumlah telefon bimbit dan barangan berkaitan kegiatan penipuan, manakala siasatan lanjut mendapati premis itu dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan dalam talian,” katanya.
Dalam operasi berasingan, Dennis Lim berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial menyerbu empat premis yang dipercayai dijadikan pusat panggilan penipuan pelaburan tidak wujud di Taman Pantai Batu, Tanjung Bungah; Villa Moonlight Bay, Batu Ferringhi; Taman Bukit Dumbar, Gelugor dan Jalan Sungai Kelian, George Town.
Katanya, hasil serbuan itu, polis menahan 80 individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan 79 warga asing dari China, Vietnam serta Kemboja.
“Siasatan awal mendapati premis-premis itu telah beroperasi lebih sebulan dan turut dijadikan sebagai tempat tinggal pekerja sindiket.
“Kesemua warga asing dipercayai ditawarkan pekerjaan di Malaysia melalui platform dalam talian atau ejen sebelum dibawa ke premis berkenaan.
“Mereka ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan gaji antara RM3,200 hingga RM5,000 sebulan, dengan tugas menghubungi serta memujuk mangsa menyertai skim pelaburan tidak wujud,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas sejumlah telefon bimbit dan barangan berkaitan kegiatan penipuan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.
“Polis Pulau Pinang memandang serius kegiatan pemerdagangan orang, eksploitasi manusia serta penipuan dalam talian yang menggunakan warga asing sebagai tenaga kerja.
“Tindakan tegas dan operasi berterusan akan dilaksanakan bagi mengesan ketua sindiket, ejen perekrut, pemilik premis serta mana-mana individu lain yang terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette
















