Salmah hadir ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang bagi melakukan pengecaman mayat anaknya Shahir (gambar kecil).

GEORGE TOWN“Ya, anak saya dah meninggal”.

Demikian kata Salmah Shamsudin, 72, yang akhirnya mengetahui nasib anak bongsunya, Shahir Zainul, 46, selepas mayat tidak dituntut di Hospital Pulau Pinang (HPP) dikenal pasti sebagai anaknya malam tadi.

Salmah berkata, dia bersama dua cucu melakukan pengecaman di Jabatan Perubatan Forensik HPP sebelum mengesahkan mayat berkenaan ialah Shahir yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu.

“Ya, memang itu anak saya. Saya dan kedua-dua cucu sudah buat pengecaman di HPP kira-kira jam 12.35 tengah malam tadi,” katanya.

Sebelum ini, kehilangan Shahir yang dilaporkan sejak 10 Jun mengundang pelbagai persoalan apabila usaha keluarga bersama polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi mencari di beberapa lokasi termasuk sebuah dusun durian di Lebuh Bukit Jambul gagal menemukan sebarang petunjuk.

Bagaimanapun, segala persoalan terjawab selepas keluarga dimaklumkan mengenai satu mayat tidak dituntut yang berada di Jabatan Perubatan Forensik HPP sebelum pengecaman dilakukan.

Pada 21 Jun lalu, Unit Komunikasi Korporat HPP mengeluarkan kenyataan media memohon bantuan orang ramai mengesan waris kepada mayat seorang lelaki dewasa tanpa identiti yang dimasukkan ke hospital itu pada 10 Jun.

Menurut kenyataan itu, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia akibat Sindrom Koronari Akut pada jam 5.28 petang, 11 Jun lalu.

Justeru HPP memohon kerjasama orang ramai menghebahkan maklumat berkenaan bagi membantu mengesan waris si mati.

ARTIKEL BERKAITAN:

SAR Shahir Zainul ditamatkan, tiada petunjuk baharu ditemui

Hidup atau mati, biarlah saya jumpa Shahir – Ibu mangsa

Anak Shahir bantu SAR jejak lokasi bapa hilang

Shahir hilang lebih sebulan, polis giat kesan mangsa

Media terdahulu melaporkan Operasi mencari dan menyelamat (SAR)  Shahir Zainul yang hilang sejak 10 Jun lalu selepas dipercayai memasuki kawasan dusun durian di Lebuh Bukit Jambul ditamatkan petang tadi.

Bagaimanapun, Salmah masih menaruh harapan agar anak bongsunya daripada dua beradik itu ditemukan.

“Hidup atau mati, saya serah kepada Allah. Saya cuma berharap dapat jumpa dia… macam mana keadaan sekali pun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast