GEORGE TOWN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu di kawasan dusun durian Jabatan Pertanian di Lebuh Bukit Jambul di sini, ditamatkan petang tadi selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, operasi yang dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bermula pagi tadi melibatkan pencarian dalam radius dua kilometer di kawasan berbukit yang mempunyai kebun serta laluan penyelenggaraan.
Menurutnya, pasukan operasi turut menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi selain menemubual beberapa individu di sekitar kawasan bagi membantu siasatan.
“Sehingga operasi pencarian ditamatkan, orang hilang masih gagal ditemui dan tiada petunjuk baharu diperoleh.
“Polis merakamkan penghargaan kepada JBPM Pulau Pinang serta pihak media atas kerjasama yang diberikan sepanjang operasi dijalankan,” katanya hari ini.
Anuwal berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan Shahir Zainul diminta menghubungi Balai Polis Bayan Baru atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, operasi yang berakhir pada jam 5.45 petang itu melibatkan anggota bomba seramai 33 orang.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, komander operasi melakukan penilaian awal (size-up) sebelum kerja-kerja SAR dijalankan, termasuk menggunakan Unit Drone bagi membantu pencarian di kawasan berbukit berkenaan.
“Hasil pencarian di beberapa lokasi mendapati tiada sebarang kesan yang menunjukkan mangsa berada di kawasan tersebut.
“Susulan itu, hasil perbincangan bersama pihak PDRM di lokasi, operasi SAR diputuskan untuk ditamatkan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Hidup atau mati, biarlah saya jumpa Shahir – Ibu mangsa
Shahir hilang lebih sebulan, polis giat kesan mangsa
Anak Shahir bantu SAR jejak lokasi bapa hilang
Media terdahulu melaporkan Shahir Zainul, 45, dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu selepas dipercayai memasuki kawasan dusun durian di Lebuh Bukit Jambul.
Topi keledar dan motosikal miliknya ditemukan di kawasan berkenaan, namun sehingga kini keberadaannya masih belum diketahui.
Ibu mangsa, Salmah Shamsudin, 72, masih menaruh harapan agar anak bongsunya daripada dua beradik, Shahir Zainul, 45, ditemukan selepas lebih sebulan dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu.
“Hidup atau mati, saya serah kepada Allah. Saya cuma berharap dapat jumpa dia… macam mana keadaan sekali pun,” katanya. – MalaysiaGazette
















