KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menganjurkan Kejohanan Bola Sepak TNB-Media sempena Piala Dunia FIFA 2026, hari ini, di Padang Kilat, Kompleks Sukan TNB, Jalan Bangsar, di sini.
Kejohanan tersebut disertai oleh 12 pasukan yang mewakili organisasi media utama negara iaitu TV3, NSTP, Sinar Harian, Bernama, Bernama TV, Astro Awani, Astro Arena, RTM, Malaysia Gazette, Utusan Malaysia, Kosmo serta pasukan TNB selaku tuan rumah.
Hadir bersama-sama memeriahkan kejohanan ini, di samping mengeratkan hubungan strategik antara TNB dan rakan-rakan media, adalah barisan pengurusan tertinggi TNB termasuk Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Kamal Ariffin A. Rahman, yang menjalankan tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, serta Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Samsul Ariffin Zainuddin.
Kali terakhir TNB menganjurkan kejohanan seumpama ini adalah pada tahun 2019 menerusi kejohanan futsal bersama media sempena Hari Belia Negara.
Penganjuran semula kejohanan pada tahun ini bersempena Piala Dunia FIFA 2026 mencerminkan komitmen TNB untuk terus memperkukuhkan hubungan strategik dengan rakan-rakan media melalui platform yang lebih santai, sihat dan interaktif.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Kamal Ariffin berkata kejohanan seumpama ini bukan sekadar platform pertandingan sukan, malah menjadi medium yang berkesan untuk mengeratkan silaturahim, memperkukuhkan kerjasama strategik serta menghargai sokongan berterusan pengamal media terhadap TNB.
“Media merupakan rakan strategik TNB dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat. Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja bersaing secara sihat di atas padang, malah membina hubungan yang lebih erat dan saling memahami di luar suasana kerja. Semoga jalinan kerjasama ini akan terus diperkukuhkan demi manfaat bersama,” katanya.
Kejohanan menyaksikan TV3 muncul sebagai Juara, diikuti NSTP sebagai Naib Juara, manakala Astro Awani dan TNB masing-masing menduduki tempat Ketiga dan Keempat. Pasukan Malaysia Gazette, Bernama TV, Astro Arena, RTM, Utusan Malaysia, Sinar Harian, Bernama dan Kosmo menerima hadiah saguhati.
Muhammad Faiz S. Yahya (NSTP) dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak, manakala Mohd Rashdan Adnan (Astro Awani) menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik.
Kejohanan ini berjaya mencapai objektif penganjurannya sebagai platform libat urus yang memperkukuhkan hubungan strategik antara TNB dan pengamal media dalam suasana yang positif, sekali gus mencerminkan komitmen TNB untuk terus membina jaringan kerjasama yang kukuh dengan rakan-rakan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan agenda pembangunan negara dan inisiatif syarikat kepada masyarakat. -MalaysiaGazette
















