JEMPOL – Calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Dayana Dal bertekad menjadikan nasib penduduk di 11 kampung Orang Asli di kawasan itu sebagai agenda utama sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Dayana, 40, berkata, sebagai anak jati Kampung Orang Asli Jeram Padang daripada suku Semelai, beliau amat memahami pelbagai isu yang dihadapi penduduk terutama berkaitan kemudahan asas.
“Jeram Padang mempunyai 11 kampung Orang Asli dan saya membesar di sini sebab itu saya mendalami masalah yang dihadapi penduduk.
“Kalau diberi peluang, saya akan membawa suara semua masyarakat tanpa perbezaan kerana kita hidup bersama dalam persekitaran berbilang kaum,” katanya.
Menurutnya, antara keutamaan yang akan diperjuangkan ialah menaik taraf infrastruktur termasuk jalan raya, rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang uzur serta penyelesaian isu bekalan air bersih.

Dayana diiringi Presiden ASLI, Rashid Ka (dua dari kanan) pada hari penamaan calon DUN Jeram Padang di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol.
Suri rumah yang juga ibu kepada tiga orang anak itu berkata, terdapat kampung yang berdepan masalah pencemaran sumber air di bahagian hulu sehingga menjejaskan kegunaan harian penduduk.
“Di bahagian atas (hulu) terdapat aktiviti yang menyebabkan sumber air tercemar sedangkan penduduk menggunakannya untuk mandi dan kegunaan harian.
“Saya mahu membawa isu ini kepada pihak berkaitan supaya sistem bekalan dan pengaliran air yang lebih bersih dapat disediakan untuk penduduk,” katanya.
Walaupun pertama kali bertanding dalam pilihan raya, sokongan yang diterima daripada wakil 18 suku kaum Orang Asli yang hadir mengiringinya pada hari penamaan calon semalam menjadi pembakar semangat untuk membawa perubahan kepada masyarakat.
Antara suku kaum yang hadir ialah Semelai, Jakun, Temuan, Kana, Semai, Jahut dan beberapa lagi yang memberi sokongan terhadapnya kerana mencipta sejarah sebagai calon pertama Orang Asli yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan.
DUN Jeram padang yang mempunyai seramai 16,590 pengundi menyaksikan saingan empat penjuru antara Dayana menentang penyandang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir (Barisan Nasional).
Turut bertanding, G. Manivannan (Pakatan Harapan), dan R. Sri Sanjeevan (Bersatu).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos DUN dibubarkan pada 5 Jun lalu. – MalaysiaGazette
















