Albert Tei hadir di Jelebu Negeri Sembilan, menemani sahabat Danni Rais pada Penamaan Calon Di DUN Klawang, semalam. Gambar: Facebook Reformati Studio Albert Tei.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei tampil memohon maaf kepada orang ramai selepas menggelar sebahagian penyokong Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘anjing’ ketika menghadiri proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di Jelebu, Negeri Sembilan semalam.

Menurutnya, tindakan itu berlaku selepas beliau mendakwa kumpulan penyokong PH melakukan provokasi terhadap rombongan Perikatan Nasional (PN) ketika beliau sedang membuat siaran langsung menerusi akaun media sosial miliknya.

Albert mendakwa, penyokong PH menjerit namanya berulang kali dan keadaan itu menyebabkan beliau berasa marah sebelum mengeluarkan kata-kata tersebut.

Beliau turut mendakwa, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berada dalam kumpulan penyokong PH ketika kejadian itu berlaku.

“Disebabkan provokasi itu, saya telah memanggil sebahagian penyokong PH yang mencetuskan keadaan tersebut dengan gelaran ‘anjing’,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bagaimanapun beliau mengakui kenyataannya itu agak kasar dan secara terbuka memohon maaf kepada netizen atas keterlanjuran tersebut.

“Saya dengan ikhlas ingin membuat permohonan maaf kepada netizen kerana kenyataan saya yang agak kasar,” katanya.

Namun, beliau menegaskan tidak akan memaafkan pihak yang didakwanya mencetuskan provokasi terhadap kumpulan PN pada hari berkenaan.

Pada masa sama, Albert turut menuntut penjelasan daripada Adam Adli berhubung dakwaan penglibatannya dalam insiden tersebut.

“Adakah ini imej dan sikap yang ingin ditunjukkan kepada masyarakat terutamanya mahasiswa?” soalnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast