JEMPOL – Pendigitalan perkhidmatan kerajaan negeri dan pemerkasaan usahawan tempatan melalui platform e-dagang bakal menjadi antara tawaran yang diketengahkan kepada rakyat Negeri Sembilan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, Negeri Sembilan memiliki kelebihan daripada segi liputan internet yang baik di kebanyakan kawasan berpenduduk sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan perkhidmatan kerajaan secara digital yang lebih menyeluruh.
Menurutnya infrastruktur digital sedia ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memudahkan urusan rakyat selain mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Saya lihat salah satu perkara yang sangat berpotensi ialah perkhidmatan yang bersifat digital. Secara umumnya liputan internet di Negeri Sembilan agak baik kecuali di beberapa kawasan ladang yang tidak mempunyai penempatan penduduk.
“Jadi kita boleh melihat bagaimana pemberian perkhidmatan kerajaan negeri yang bersifat digital dapat diperluaskan kepada rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian ketika mengulas antara cadangan yang boleh diterjemahkan sebagai nilai tambah kepada pentadbiran negeri.
Fahmi berkata, kejayaan aplikasi MyGov di peringkat Persekutuan serta pelaksanaan pelbagai aplikasi kerajaan tempatan di Selangor membuktikan transformasi digital mampu memudahkan kehidupan rakyat.
Menurutnya, model sama boleh diperluaskan di Negeri Sembilan bagi membolehkan urusan seperti pembayaran parkir, saman, lesen dan permit dilakukan hanya melalui satu aplikasi.
“Kita telah lihat di peringkat pusat melalui aplikasi seperti MyGov yang banyak membantu. Di Selangor pula, bayaran parkir, saman, lesen dan permit boleh dibuat menerusi aplikasi.
“Sekiranya pendekatan ini dapat diperluaskan di Negeri Sembilan, saya nampak ia akan menjadi satu kemudahan yang besar kepada rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, Fahmi turut melihat potensi besar untuk memperkukuhkan ekonomi digital negeri dengan menghubungkan program keusahawanan seperti Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) kepada platform e-dagang seperti TikTok Shop dan Shopee.
Anak jati Negeri Sembilan itu berkata, ramai peserta program TUNS mempunyai produk berkualiti namun memerlukan sokongan bagi meningkatkan jualan melalui pemasaran digital.
“Saya telah berjumpa beberapa penerima dan peserta program TUNS. Saya lihat ramai yang boleh dinaik taraf perniagaan mereka termasuk memanfaatkan TikTok Shop dan mendapatkan affiliates untuk membantu mempromosikan produk mereka.
“Ini merupakan satu peluang yang sangat baik untuk kita sediakan dan persembahkan sebagai tawaran kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Transformasi digital, katanya, tidak seharusnya terhad kepada aspek teknologi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai rakyat melalui urusan yang lebih mudah, pantas dan peluang ekonomi yang lebih luas.
Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja membantu usahawan tempatan memperluaskan pasaran, malah berpotensi menjadikan ekonomi digital sebagai pemacu baharu pertumbuhan Negeri Sembilan sekiranya diberi mandat pada PRN kali ini.
Untuk rekod, TUNS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan yang diwujudkan bagi membantu usahawan mikro dan perusahaan kecil meningkatkan kapasiti perniagaan melalui bantuan geran, pembelian peralatan, kelengkapan serta sokongan kepada pengembangan operasi.
Program itu memberi manfaat kepada ribuan usahawan tempatan sejak diperkenalkan dan menjadi antara agenda utama kerajaan negeri dalam memperkasakan ekonomi rakyat.
Sehubungan itu, Fahmi berpandangan, program berkenaan kini boleh diperkasakan ke fasa seterusnya dengan mengintegrasikan peserta TUNS ke dalam ekosistem ekonomi digital melalui platform seperti TikTok Shop dan Shopee.
Ia termasuk latihan pemasaran digital serta penggunaan ejen affiliate bagi meluaskan capaian pasaran dan meningkatkan jualan produk usahawan tempatan. – MalaysiaGazette
















