Para pelajar Kursus Pembangunan Masyarakat IV, Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan, UUM yang terlibat dalam penganjuran Program Serumpun di Bukit Tadom, Banting, semalam.

 

BANTING  – Program Serumpun: Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) Bersama Komuniti Temuan berjaya menghimpunkan lebih 250 peserta di Bukit Tadom, di sini,semalam, dalam usaha memperkukuh kerjasama pelbagai pihak bagi memperkasakan masyarakat tersebut melalui pendidikan, keselamatan dan pembangunan sosial.

Program anjuran pelajar Kursus Pembangunan Masyarakat IV (VKMB2041), Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), UUM itu bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti mengenai penggunaan tenaga secara cekap melalui sesi Literasi Tenaga, di samping memupuk kesedaran terhadap amalan keselamatan dan langkah-langkah pencegahan kebakaran.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Hadi Anak Jembik. Turut hadir Pensyarah Kursus VKMB2041, Zulhairi Zakariah, yang mewakili Pengarah PACE UUM dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Bukit Tadom, Soeb Miah.

Program ini mencerminkan komitmen Universiti Utara Malaysia melalui PACE dalam melahirkan graduan cemerlang dari aspek akademik dan memiliki nilai kemanusiaan, kepimpinan dan tanggungjawab sosial menerusi penglibatan aktif dalam program khidmat masyarakat.

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk sesi Literasi Tenaga, demonstrasi penggunaan alat pemadam api, pameran keselamatan kebakaran, aktiviti interaktif bersama komuniti serta penyampaian sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tadom.

Pengarah Program, Mohd Khairulnizam Zainodin berkata, program tersebut menjadi wadah kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti serta memupuk semangat kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

“Kami berharap Program Serumpun dapat memberikan manfaat kepada komuniti Temuan, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan tenaga secara cekap melalui amalan Literasi Tenaga serta langkah-langkah pencegahan kebakaran.

“Pada masa yang sama, program ini menjadi platform pembelajaran yang amat berharga kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, di samping menghayati nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast