SERI MENANTI – Isu kemudahan asas seperti perkhidmatan perbankan, stesen minyak dan pejabat pos terus menjadi antara rungutan utama penduduk di Seri Menanti di sini meskipun masalah itu didakwa telah berlarutan sejak dua penggal lalu.
Perkara itu dibangkitkan calon Bersatu bagi DUN Seri Menanti, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang berkata, isu berkenaan antara maklum balas paling kerap diterimanya sepanjang turun padang pada hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, penduduk berharap kemudahan asas itu dapat dipertingkatkan bagi memudahkan urusan harian, terutama golongan yang tinggal di kawasan luar bandar.
“Antara perkara yang banyak dibangkitkan penduduk ialah akses kepada perkhidmatan seperti bank, stesen minyak dan pejabat pos. Ini bukan isu baharu, tetapi sudah lama diperkatakan.
“Selepas dua penggal, penduduk masih mengharapkan penyelesaian terhadap perkara yang menyentuh keperluan harian mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Selain kemudahan asas, Megat berkata, penduduk turut mengharapkan lebih banyak kemudahan rekreasi termasuk trek joging dan padang yang lebih sesuai untuk kegunaan masyarakat.
Beliau berkata, masyarakat luar bandar juga berhak menikmati kemudahan awam yang setanding dengan kawasan bandar bagi menggalakkan gaya hidup sihat.
“Penduduk kampung juga mahukan kemudahan yang baik. Mereka mahu ada trek joging, padang yang lebih selesa dan ruang riadah yang boleh dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Megat berkata, Seri Menanti mempunyai ramai warga emas yang memerlukan perhatian berterusan daripada wakil rakyat memandangkan kebanyakan anak mereka bekerja atau menetap di luar kawasan.
Katanya, ramai anak-anak yang pulang mengundi berharap ibu bapa mereka sentiasa berada dalam keadaan baik dan mendapat perhatian sewajarnya daripada wakil rakyat.
“Mereka mahu ada wakil rakyat yang sentiasa turun padang, bertanya khabar dan membantu apabila diperlukan, bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya,” jelasnya.
Mengulas hari pertama kempen, Megat berkata, beliau meneruskan rutin seperti biasa dengan mengadakan ziarah rumah ke rumah, bertemu penduduk, menziarahi pesakit serta menyantuni golongan belia dan orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata, pendekatan itu membolehkannya mendengar sendiri pandangan dan masalah penduduk sebelum mencari jalan penyelesaian sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat.
Pada masa sama, beliau menggesa pengundi supaya membuat pilihan berdasarkan keupayaan seseorang calon untuk berkhidmat dan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya semata-mata melihat parti yang diwakili.
“Yang penting ialah calon yang mampu bekerja dan membawa perubahan kepada kawasan. Pengundi perlu menilai individu yang benar-benar boleh berkhidmat kepada mereka,” katanya.
PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini menyaksikan Megat berdepan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Muhammad Sufian Maradzi serta calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa dalam pertandingan tiga penjuru bagi merebut kerusi DUN Seri Menanti. – MalaysiaGazette
















