Hiasan

SEREMBAN –  Komuniti India disaran membuat pilihan berdasarkan rekod prestasi serta kestabilan politik jangka panjang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dan bukannya dipengaruhi percaturan politik yang hanya bertujuan merebut kuasa.

Penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan berkata, pengundi kini semakin matang dan lebih cenderung menilai keupayaan sesebuah kerajaan mentadbir serta menyampaikan hasil kepada rakyat berbanding retorik politik semata-mata.

Menurutnya, keputusan Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini menunjukkan pengundi membuat pertimbangan berdasarkan prestasi kerajaan dan bukannya sentimen politik.

“Komuniti India perlu melihat lebih jauh daripada kempen pilihan raya. Mereka perlu menilai gabungan politik yang mampu menawarkan kestabilan jangka panjang kerana kestabilan menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi, kemasukan pelaburan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat.

“Setiap kerajaan negeri mempunyai pencapaian masing-masing untuk dinilai. Komuniti India tidak seharusnya membiarkan diri dipergunakan dalam percaturan politik untuk merebut kuasa.

“Apa yang lebih penting ialah memilih kepimpinan yang mempunyai rekod prestasi, dasar yang jelas serta komitmen membangunkan masyarakat secara inklusif,” katanya hari ini.

Anbumani Balan

Anbumani berkata, walaupun masyarakat India merupakan golongan minoriti di negara ini, sumbangan mereka kepada pembangunan negara bersama kaum lain tidak boleh dipertikaikan.

Katanya, pengundi India juga sering menjadi kelompok penentu di banyak kawasan campuran, justeru setiap undi perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab.

“Semua negeri di Malaysia mempunyai keistimewaan masing-masing dan kita semua adalah Bangsa Malaysia. Kuasa politik masyarakat India sentiasa menjadi faktor penting dalam menentukan keputusan pilihan raya, khususnya di kawasan campuran,” katanya.

Beliau berkata, menjelang PRN Negeri Sembilan, ukuran utama pengundi bukan lagi sekadar manifesto, sebaliknya pencapaian kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dalam menangani kos sara hidup, mewujudkan peluang pekerjaan, memperkasa usahawan, meningkatkan akses pendidikan serta melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Pada masa sama, katanya, masyarakat India juga boleh membuat penilaian sendiri terhadap prestasi pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang kini memasuki penggal kedua menerajui kerajaan negeri.

“Komuniti India tidak seharusnya terperangkap dengan budaya politik bermusim yang cuba digerakkan oleh pihak tertentu. Mereka perlu melihat pelan pembangunan jangka panjang yang mampu memastikan agenda pembangunan negeri dilaksanakan secara terancang tanpa gangguan perebutan kuasa politik,” katanya.

Menurut Anbumani, masyarakat India kini lebih kritikal dalam membuat keputusan dan tidak lagi bergantung kepada sentimen politik semata-mata, sebaliknya menilai sama ada sesebuah kerajaan benar-benar mampu membawa perubahan yang memberi kesan kepada kehidupan harian rakyat.

“Prestasi membina keyakinan, manakala kestabilan menjamin kesinambungan pembangunan. Kedua-duanya saling melengkapi. Tanpa kestabilan, sukar untuk merancang pembangunan jangka panjang, dan tanpa prestasi, kepercayaan rakyat akan terhakis,” katanya.

Beliau berkata, PRN Negeri Sembilan akan menjadi medan penting untuk melihat sejauh mana pengundi, khususnya komuniti India, membuat pilihan berdasarkan rekod pencapaian dan kestabilan pentadbiran, berbanding naratif politik jangka pendek.

“Undi komuniti India bukan sekadar menentukan siapa membentuk kerajaan negeri, tetapi turut mencorakkan hala tuju pembangunan masyarakat pada masa depan. Sebab itu, pilihan yang dibuat perlu berpandukan prestasi, kestabilan dan keupayaan mentadbir,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast