SEREMBAN – Pakatan Harapan (Harapan) mendakwa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang memasuki hari pertama selepas penamaan calon menerima reaksi positif daripada pengundi, memberi suntikan semangat kepada jentera parti untuk meneruskan usaha mempertahankan pentadbiran negeri.
Jawatankuasa Pilihan Raya Harapan dalam satu kenyataan berkata, semua calon telah memulakan gerak kerja di kawasan masing-masing dengan membawa mesej mengekalkan kestabilan politik bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kemajuan Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan itu, calon-calon Harapan turut mengambil peluang bertemu pengundi di lokasi tumpuan awam bagi mendengar sendiri pandangan serta permasalahan rakyat, selain menyatakan komitmen untuk menjadi penghubung dalam menyelesaikan isu setempat.
“Rata-rata pengundi Negeri Sembilan berada dalam keadaan mood yang baik, hasil daripada perancangan pembangunan negeri yang tersusun serta pertumbuhan ekonomi yang mampan di peringkat Persekutuan,” menurut kenyataan itu.
Harapan berkata, selain memperkukuhkan gerak kerja di lapangan, jentera parti turut memberi tumpuan kepada penyelarasan logistik, bahan kempen dan pemantauan pemasangan bahan publisiti supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta pihak berkuasa tempatan.
Menurut kenyataan itu lagi, kempen di media sosial turut diperkasa menerusi penyelarasan komunikasi dan taklimat khas kepada pegawai media yang membantu calon Harapan, dengan penekanan kepada naratif kempen yang bersih, seimbang dan mesra rakyat.
Harapan mendakwa rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menjadi antara kekuatan utama kempen ketika ini kerana rakyat didakwa telah merasai manfaat daripada dasar pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 2018.
Pada masa sama, Harapan turut mendakwa pihak lawan masih belum menampilkan calon Menteri Besar mereka, manakala gabungan itu akan terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan aspirasi rakyat sepanjang tempoh berkempen.
Dalam perkembangan sama, Harapan menggesa semua pihak mengekalkan kempen yang matang dan berhemah susulan laporan polis dibuat terhadap seorang lelaki yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menerusi satu hantaran di media sosial.
Harapan turut menyeru semua parti mengelakkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R), serta tidak menghina institusi Raja-Raja Melayu dan Institusi Adat sepanjang kempen PRN kerana pertandingan itu perlu diputuskan secara demokratik di peti undi. – MalaysiaGazette
















