KUALA LUMPUR – Datin Seri Zizie Izette A. Samad memohon diberi ruang menjalani kehidupan seperti biasa untuk membesarkan lima anak selepas suaminya Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia tahun lalu.
Selaku ibu tunggal, beliau memikul tanggungjawab yang besar dan benar-benar berharap Allahyarham berada disampingnya.
“Saya berimaginasi arwah berada di sebelah saya ketika keputusan diumumkan.
“Cukuplah tujuh tahun saya memendam rasa, hanya Allah (SWT) yang tahu. Saya seorang yang tidak suka bercerita, tidak suka bercakap tentang kehidupan saya, privasi saya,” ujarnya.
Zizie Izette turut bersyukur dengan keputusan yang memihak kepadanya serta menyampaikan ucapan terima kasih kepada barisan peguam yang mewakilinya serta semua pihak yang mendoakan sepanjang perbicaraan.
Bekas pelakon itu ditemui wakil media selepas Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan daripada tiga pertuduhan bersubahat dengan Allahyarham suaminya memperoleh suapan RM2.8 juta berkaitan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas mendapati balu bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu berjaya membuktikan pembelaannya melampaui tahap keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga pertuduhan.
Mahkamah berpuas hati, Zizie Izette tidak bersubahat melakukan pakatan jahat dengan suaminya melakukan ketiga-tiga kesalahan.
Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd. Fadhly Mohd. Zamry manakala Zizie Izette diwakil peguam-peguam Datuk Seri K. Kumaraendran, M. Athimulan dan Ridha Abdah Subri.
Perkembangan kes itu melalui fasa tidak diduga apabila Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember 2025 ketika usia 66 tahun, akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.
Susulan kematiannya, Mahkamah Sesyen pada 16 Januari lalu membebaskan bekas Ketua UMNO Sabah itu daripada ketiga-tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding terhadapnya.
Perbicaraan terhadap Zizie Izette bagaimanapun diteruskan sehingga beliau selesai memberi keterangan membela diri pada 5 Mac lalu sebelum pihak pembelaan menutup kesnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
KEMASKINI: Zizie Izette bebas 3 tuduhan bersubahat dengan Allahyarham Bung Moktar
















