KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Juwairiya Zulkifli kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan bahan kempen calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan hari ini.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, beliau mempersoalkan sama ada tindakan vandalisme dan politik kotor berkenaan mencerminkan amalan demokrasi serta budi bahasa masyarakat di Negeri Sembilan.

“Pagi ini petugas kami mendapati bahan kempen calon PH Rantau telah dicemari dengan kempen kotor pihak tidak bertanggungjawab.

“Adakah ini demokrasi di Negeri Sembilan? Adakah ini sikap dan budi bahasa orang di Negeri Sembilan?” soalnya menerusi hantaran di aplikasi Threads.

Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Juwairiya Zulkifli

Juwairiya juga melahirkan rasa percaya sikap orang Negeri Sembilan penuh adab dan budi bahasa yang tinggi.

“Namun ini tidak dapat diterima dalam satu proses pilihan raya yang memberi ruang demokrasi untuk rakyat memilih pemimpin mereka.

“Saya gesa para pengundi dan penduduk tempatan agar tidak terikut-ikut dengan amalan politik tidak sihat seperti itu. Tolong anak Rantau, you can do better than this (anda boleh buat lebih baik daripada ini),” katanya.

Sementara itu, insiden sabotaj dan merosakkan bahan kempen sebegini bukan kali pertama berlaku melibatkan calon PH.

Sebelum ini, kejadian hampir sama dilaporkan berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, di mana beberapa bendera, kain rentang dan papan iklan kempen dikoyak, diconteng serta dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sepanjang tempoh berkempen.

Kejadian berulang ini membuktikan masih ada pihak yang menggunakan taktik politik kotor bagi mengganggu kelancaran proses demokrasi menjelang hari pengundian. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast