JEMPOL – Ketika kebanyakan ibu bapa menyediakan anak dengan pakaian sekolah yang bersih, penduduk Kampung Orang Asli Sungai Raya di Bahau pula berdepan dilema berbeza apabila terpaksa membawa anak mereka menyusuri hampir 300 meter ke anak sungai.
Jika tidak, ada dalam kalangan mereka terpaksa sekadar membasuh muka di rumah, memakai semula pakaian sekolah kerana tiada air untuk membasuh dan mandi.
Lebih menyedihkan jika cuaca hujan, mereka terpaksa ponteng sekolah kerana malu hadir dalam keadaan kotor sejak hampir dua bulan lalu.

Penduduk Orang Asli terpaksa menjadikan anak sungai sebagai sumber air untuk mandi dan membasuh pakaian
Itu antara isu dihadapi kira-kira 150 penduduk membabitkan 30 keluarga di kampung itu yang hidup tanpa bekalan air bersih dan stabil selepas sistem bekalan air bawah tanah didakwa terganggu susulan pertukaran kontraktor.
Wakil penduduk, Rumi Mahadi, 41 mendakwa, sebelum ini bekalan air bawah tanah yang dirawat tidak pernah mengalami gangguan selama empat tahun.
“Masalah air dekat kampung ini bermula selepas pertukaran kontrak kira-kira dua bulan lalu dan sejak itu berlaku gangguan bekalan air.
“Keadaan ini bukan sekadar menyulitkan urusan memasak atau membasuh, malah menjejaskan pendidikan dan keselamatan anak-anak di sini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, ketika ini, penduduk hanya bergantung kepada bekalan air yang dihantar sekali seminggu oleh Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) namun jumlah itu perlu dikongsi oleh seluruh kampung.
“Kesannya memang susah sampaikan anak kalau nak mandi kena ke sungai, lebih kurang 300 meter jalan kaki dalam kegelapan pagi malah penduduk pun terpaksa mandi sungai lepas menoreh getah,” katanya.
Rumi turut meluahkan kekecewaan apabila kampung mereka masih berdepan pelbagai kekurangan infrastruktur asas berbanding penempatan Orang Asli lain.

Penduduk kampung terpaksa hidup tanpa bekalan air bersih yang stabil selepas sistem bekalan air bawah tanah dilaporkan terganggu susulan pertukaran kontraktor sebelum ini.
“Kalau boleh, selesaikanlah masalah jalan masuk ke kampung ini bukannya ada separuh turap separuh tidak. Rumah pula kali terakhir dapat tahun 2010.
“Sekurang-kurangnya lima tahun sekali bina satu rumah pun okay sebab keluarga makin bertambah yang kecil sudah besar, sudah berkahwin dan beranak.
“Banyak rumah yang uzur di sini sampaikan ada penduduk terpaksa buat pondok-pondok untuk tinggal sementara,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Maya Mahadi, 27, berkata, ketiadaan bekalan air bersih turut menjejaskan anaknya terpaksa ponteng atau ke sekolah dalam keadaan tidak mandi pagi jika cuaca hujan.
“Pernah berlaku kes anak dimarahi guru kerana tidak menjaga kebersihan diri dan bila kotor takut berlaku penyakit berjangkit tapi kami tiada pilihan bila sudah kehabisan bekalan air dalam tong yang diambil,” katanya.
Bagi, Talib Mohamad, 37, dan kakaknya, Jita, 41, mereka tiada pilihan walaupun bimbang terhadap tahap kebersihannya.
“Nak mandi, minum, basuh baju semua susah sebab kadang-kadang dekat sungai air tak pun bersih bila ada kilang buang sisa air hitam.
“Menjelang hari mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini, kami mahu siapa sahaja penduduk yang diberi mandat, selesaikan semua masalah asas di sini terutamanya bekalan air bersih,” katanya. – MalaysiaGazette
















