SEREMBAN – Kalau 100 peratus, saya boleh berikan 98 peratus.
Itu penilaian seorang pengundi terhadap prestasi pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan sepanjang lapan tahun lalu khususnya dalam aspek pembangunan kampung, kemudahan asas dan kecekapan kerajaan negeri memberi perhatian terhadap keperluan rakyat.
Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Faizul Abdullah, 46, berkata, penilaian tinggi itu apabila melihat sendiri perubahan di kawasan Kampung Jijan termasuk penyediaan padang di Sekolah Kebangsaan Kampung Jijan yang sebelum ini tidak mempunyai kemudahan berkenaan.

Menurutnya, banyak kemudahan infrastruktur di kampung turut ditambah baik manakala permohonan penduduk terhadap kemudahan asas mendapat perhatian kerajaan negeri.
“Bagi saya, pentadbiran ini tidak terlalu memikirkan soal kroni. Apabila pihak kampung mengemukakan permohonan, kerajaan negeri memberi perhatian dan meluluskan perkara yang diperlukan.
“Sistem pentadbiran juga lebih mudah. Mereka yang menjalankan tugas dan bekerja untuk kepentingan penduduk akan mendapat sokongan, dan keperluan penduduk kampung dapat dilaksanakan berbanding pentadbiran sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Faizul turut melihat sendiri perubahan dalam proses pembangunan di kawasan berkenaan, termasuk kemudahan prasarana dan jalan raya yang semakin baik.
Katanya, pentadbiran PH di Negeri Sembilan juga dilihat lebih mudah didekati apabila penduduk mengemukakan permohonan berkaitan keperluan kampung.
“Bagi saya, pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan pada masa ini, khususnya pada tahun 2026, amat baik dan memberangsangkan. Saya dapat melihat sendiri proses pembangunan kampung yang kini lebih mudah dan lancar,” katanya.

Bagi peniaga, Bahrudin Ibrahim, 65, perkembangan Negeri Sembilan perlu dilihat berdasarkan perubahan pembangunan sejak beberapa dekad lalu termasuk pertumbuhan kawasan industri di Bandar Enstek dan Nilai.
Menurutnya, pembangunan kawasan industri telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada golongan muda, selain merancakkan pertumbuhan kawasan perumahan dan ekonomi setempat.
“Saya menganggarkan Negeri Sembilan kini sudah 70 hingga 75 peratus lebih ke depan berbanding dahulu. Kita boleh lihat pencapaian itu melalui peningkatan pendapatan dan hasil kerajaan negeri yang semakin meningkat.
“Itu bukan semata-mata pandangan kita tetapi berdasarkan angka dan data yang dikeluarkan oleh pihak berkaitan,” katanya.
Sementara itu, penilaian terhadap prestasi PH turut menunjukkan pandangan pengundi yang tidak jauh bezanya.

Bagi Sidi Ibrahim, 34, penilaian prestasi kerajaan PH di negeri ini berada pada tahap 90 peratus berdasarkan peningkatan rizab kerajaan negeri, bantuan kepada rakyat serta pembangunan infrastruktur luar bandar.
Menurutnya, prestasi kerajaan negeri sepanjang dua penggal pentadbiran PH menunjukkan perkembangan yang membanggakan berdasarkan fakta dan data yang ada.
“Sepanjang dua penggal pentadbiran ini, fakta dan data menunjukkan prestasi kerajaan negeri lebih baik berbanding pentadbiran sebelum ini. Jadi, bagi saya, PH telah menunjukkan prestasi yang membanggakan.
“Sebab itu, untuk pilihan raya kali ini, kenapa tidak kita teruskan dan kekalkan pentadbiran Pakatan Harapan? Prestasi yang ditunjukkan sudah jelas, antaranya rizab kerajaan negeri yang meningkat dan saluran bantuan kepada rakyat yang sentiasa ditambah baik,” katanya.

Bagaimanapun, tidak semua pengundi memberikan penilaian sama apabila Syahril Zulkifli, 42, yang menetap di kawasan DUN Labu memberikan markah 70 peratus manakala Hassan Abdul Gani, 68, hanya memberikan 60 peratus.
Pengundi DUN Labu, Syahril memberikan penilaian antara 60 hingga 70 peratus kepada kerajaan PH berdasarkan perubahan pembangunan yang disaksikannya sejak menetap di kawasan berkenaan kira-kira 10 tahun lalu.
Menurutnya, pembangunan Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun dan perubahan itu dapat dilihat secara berperingkat menerusi kemudahan serta infrastruktur yang disediakan.
“Secara keseluruhannya, saya rasa okey dengan pembangunan yang dilaksanakan. Ada peningkatan dari tahun ke tahun dan kita boleh nampak perubahan yang berlaku,” katanya.

Hassan berkata, walaupun masih terdapat pembangunan yang dilaksanakan khususnya berkaitan jalan raya, perubahan sepanjang lapan tahun pentadbiran PH tidak begitu ketara pada pandangannya.
“Kalau markah 100, saya beri 60 peratus. Masih lulus tetapi belum mencapai tahap yang kita harapkan.
“Kalau kita lihat media sosial, ada yang mengkritik dan ada yang memuji. Bagi saya, perubahan itu tidak begitu ketara dan tidak banyak yang boleh kita nampak,” katanya. – MalaysiaGazette
















