PORT DICKSON – Nelayan dan pemandu teksi memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan di daerah ini sebagai tulang belakang ekonomi pesisir dan pemangkin penting kepada sektor pelancongan.
Lantaran itu, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk Dr G. Rajasekaran berkata, kebajikan golongan itu tidak boleh dipinggirkan ketika negara berdepan arus kemodenan agar nasib mereka idak terjejas dan terabai.
Jelas beliau, satu penyelesaian terperinci perlu dilakukan untuk membantu nelayan dan pemandu yang berdepan pelbagai cabaran di lapangan ketika ini.
“Sembang santai bersama golongan nelayan dan pemandu teksi, mereka berkongsi pelbagai cabaran di lapangan dan kami di sini sedia mendengar serta membantu mencari jalan penyelesaian.
“Mereka adalah tulang belakang industri pelancongan Port Dickson,” katanya selepas lawatan turun padang apabila menyantuni nelayan dan pemandu teksi di pekan Port Dickson di sini.

Awal tahun ini, kehadiran pemandu prebet sapu dipercayai warga asing yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan secara haram di sekitar jeti Port Dickson semakin berleluasa dan menekan pendapatan pemandu teksi berlesen tempatan.
Media melaporkan, aktiviti itu berlaku hampir setiap hari terutama ketika ketibaan feri yang membawa ratusan penumpang, sekali gus menyebabkan pelanggan disambar lebih awal oleh pemandu tidak berlesen berkenaan.
Pemandu prebet sapu lazimnya menunggu di pintu pagar jeti dan menawarkan tambang sehingga 30 peratus lebih mahal berbanding kadar teksi berlesen, namun tetap mendapat sambutan kerana mendekati penumpang terlebih dahulu.
Namun Rajasekaran pantas mengambil langkah segera apabila bertemu dan berbincang dengan Pengerusi Persatuan Kebajikan Tuanpunya dan Pemandu-Pemandu Teksi/Kereta Sewa Daerah Port Dickson, Mustapah Abdullah.
Perbincangan itu bagi menyediakan tapak khas untuk teksi tempatan berhampiran jeti dengan pelekat khusus bagi mengelakkan kekeliruan dengan teksi luar dan prebet sapu.
Rajasekaran merupakan penyandang wakil rakyat di DUN Sri Tanjung selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-15 pada 2023 dengan majoriti 3,996 undi.
1 Ogos ini, dia akan berdepan saingan lima penjuru calon dari Barisan Nasional (BN), A Achutan dan M Leevineshwaraan mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi PRN16.
Turut bertanding, A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudi, masing-masing calon bebas. – MalaysiaGazette
















