Ridzuan pada kempen PRN di Felda Jelai 2 hari ini.

TAMPIN – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Ridzuan Ahmad menegaskan tidak timbul isu boikot dalam kalangan jentera Barisan Nasional (BN) terhadap kempennya sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu berkata, kerjasama yang dijanjikan pimpinan UMNO bahagian diterjemahkan di peringkat akar umbi, meskipun mengakui terdapat segelintir penyokong yang masih kecewa berikutan kerusi tradisi BN itu kini ditandingi calon Parti Wawasan mewakili PN di awal kempen.

“Tidak..tidak (diboikot) setakat ini saya rasa cukup baik sambutan daripada UMNO itu sendiri..mereka memberikan kerjasama cuma biasalah seorang dua yang terasa hati.

“Kerana sejak selepas Merdeka, memang kerusi ini memang dipertandingkan oleh Barisan Nasional tetapi selepas beberapa hari kita beri penerangan, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pada kempen PRN di Gemas.

Ridzuan Ahmad

Mengulas dakwaan beliau melompat parti, Ridzuan menegaskan isu berkenaan tidak sepatutnya timbul kerana beliau masih bertanding di bawah gabungan PN.

“Sebenarnya isu lompat parti tidak timbul kerana dahulu saya bertanding atas nama PN, hari ini pun saya bertanding atas nama PN cuma parti lama itu tidak mahu bekerjasama dalam penyatuan ini, jadi saya mengambil keputusan begini,” katanya.

Ridzuan turut merayu pengundi memberi peluang kepadanya untuk terus berkhidmat sepenggal lagi bagi menyelesaikan beberapa agenda pembangunan yang masih tertangguh di Gemas.

“Antara keutamaan ialah menyiapkan projek Kompleks Sukan Gemas yang masih belum siap walaupun telah dianugerahkan sejak 2020, selain memperkukuh pembangunan bandar tentera dan menarik lebih banyak pelaburan bagi mewujudkan peluang pekerjaan.

“Saya mohon maaf jika sepanjang dua tahun sembilan bulan menjadi wakil rakyat ada kekurangan daripada saya dan dengan rendah hati saya merayu kepada pengundi DUN Gemas supaya memberi peluang sekali lagi untuk saya meneruskan agenda yang masih tergendala,” katanya.

Muhammad Shukur Nasir

Sementara itu, Ketua UMNO Felda Jelai 4 merangkap Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jelai 2 dan 4, Muhammad Shukur Nasir berkata, kemarahan sebahagian akar umbi UMNO terhadap keputusan kerjasama dengan PN semakin reda selepas beberapa hari kempen berlangsung.

Beliau berkata, usaha penerangan yang dilakukan di peringkat cawangan mula menunjukkan kesan positif.

“Pada awalnya memang orang marah, tetapi hari ini sudah mula kendur maknanya mereka sudah mula faham, walaupun banyak lagi kerja yang perlu dibuat.

“Masuk hari keempat dan kelima berkempen, rajuk akar umbi sudah semakin kurang dan saya nampak perubahan yang baik,” katanya.

Muhammad Shukur berkata, beliau yakin sokongan di peringkat akar umbi akan terus bertambah baik sepanjang tempoh berkempen sekali gus membantu calon PN mempertahankan kerusi DUN Gemas.

Ridzuan memenangi kerusi DUN Gemas pada PRN lalu apabila bertanding atas tiket PN sebagai calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, beliau mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Wawasan (Wawasan) sebelum sekali lagi dipilih mewakili PN bagi mempertahankan kerusi berkenaan kali ini.

Pada PRN lalu, Ridzuan memperoleh 11,653 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Abd. Razak Ab. Said dengan majoriti 3,120 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast