SEREMBAN – Rekod lapan tahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yang menjaga kepentingan semua kaum dan agama perlu menjadi pertimbangan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini, kata calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai, J. Arul Kumar.
Beliau berkata, antara pencapaian yang menunjukkan pendekatan inklusif kerajaan negeri ialah pewujudan portfolio Exco Hal Ehwal Bukan Islam serta pemberian peruntukan tahunan kepada organisasi dan rumah ibadat bukan Islam di Negeri Sembilan.
Menurutnya, langkah itu membuktikan kerajaan negeri memberi perhatian terhadap keperluan semua masyarakat tanpa meminggirkan mana-mana kaum atau agama.
“Selama 60 tahun ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir, tidak pernah ada Exco yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal bukan Islam.
“Selepas kita menjadi kerajaan, kita memperuntukkan dana setiap tahun kepada organisasi dan rumah-rumah ibadat bukan Islam di Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap dalam satu ceramah di negeri ini.
Arul Kumar berkata, kerajaan negeri turut membantu menyelesaikan isu membabitkan kira-kira 67 rumah ibadat bukan Islam selain menyediakan peruntukan bagi memastikan rumah ibadat berkenaan terus berfungsi untuk masyarakat setempat.
Katanya, kerajaan negeri juga mengambil kira keperluan masyarakat bukan Islam dalam penyediaan tapak perkuburan dengan merizabkan 12 ekar tanah di Seremban 2 untuk masyarakat Cina dan India.
“Di kawasan Pajam pula, kita menggunakan dana kerajaan melalui tabung amanah perkuburan untuk membeli tanah seluas 10 ekar bagi menyediakan tapak perkuburan bukan Islam kepada masyarakat di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan menunjukkan kerajaan PH mewakili semua lapisan masyarakat dengan mengambil kira keperluan setiap kaum dan agama.
“Inilah kerajaan yang mewakili semua. Kita melihat keperluan semua pihak dan tidak meminggirkan mana-mana agama atau kaum di Negeri Sembilan.
“Kalau ada keperluan untuk masyarakat Islam, kita juga menyediakan dan merizabkan tapak perkuburan untuk masyarakat Islam. Tetapi di kawasan tertentu, ada juga keperluan masyarakat bukan Islam dan kita turut mengambil kira keperluan tersebut,” katanya.

Sementara itu, calon PH bagi DUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, rekod kerja dan pengalaman selama tujuh tahun juga perlu menjadi ukuran pengundi dalam menentukan wakil rakyat pada PRN kali ini.
Beliau berkata, faktor usia tidak seharusnya dijadikan ukuran utama kerana apa yang lebih penting ialah semangat, kemampuan dan kesungguhan seseorang calon dalam berkhidmat kepada rakyat.
“Umur hanyalah angka. Yang paling penting ialah kita masih mempunyai semangat dan kemampuan untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Kita mesti bertanding berdasarkan rekod kerja, pengalaman dan apa yang telah kita lakukan untuk rakyat. Semua itu perlu kita buktikan kepada rakyat supaya mereka boleh membuat pilihan,” katanya ketika berucap dalam satu ceramah di Mambau, malam tadi.
Menurut Nicole, sepanjang tempoh berkhidmat sebagai wakil rakyat, beliau sentiasa berusaha mendekati masyarakat melalui aktiviti turun padang termasuk mengadakan sesi walkabout dan bertemu rakyat di kedai kopi bagi mendengar sendiri masalah serta keperluan mereka.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan suara rakyat, termasuk golongan anak muda, didengari sebelum sebarang keputusan dibuat.
Nicole turut mengambil contoh isu pembangunan padang bola sepak baharu di Seremban 2 yang mencetuskan kebimbangan penduduk berhubung kemungkinan pencemaran bunyi, pencemaran cahaya dan kesesakan lalu lintas.
Beliau berkata, selepas menerima aduan penduduk, satu sesi town hall dianjurkan bagi memberi ruang kepada kira-kira 50 penduduk menyuarakan pandangan masing-masing sebelum pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dipanggil memberikan penjelasan.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi menggunakan pengalaman sendiri dalam menilai calon dengan melihat rekod perkhidmatan, pengalaman dan kemampuan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya semata-mata faktor usia atau latar belakang calon. – MalaysiaGazette
















