Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chang Foong Hin berucap pada Ceramah calon Pakatan Harapan di Mambau & Rahang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Rasah, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2026.

SEREMBAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan sekadar menentukan kerajaan yang akan mentadbir negeri, sebaliknya menjadi penentu hala tuju pembangunan negeri itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Oleh itu, rakyat perlu melihat secara lebih menyeluruh perancangan pembangunan yang ditawarkan setiap parti sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chang Foong Hin berkata, lima projek berimpak tinggi yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menunjukkan bentuk pembangunan yang lebih konkrit dan memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam pilihan raya negeri kali ini, apa yang kita undi? Kita sebenarnya mengundi untuk menentukan hala tuju pembangunan Negeri Sembilan bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

“Jadi, kita mahu melihat apa perancangan Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri supaya kita sama-sama membangunkan Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap dalam satu ceramah di Mambau, malam tadi.

Beliau berkata, daripada lima projek berimpak tinggi yang dicadangkan, tiga daripadanya berkaitan sektor pengangkutan di bawah Kementerian Pengangkutan, termasuk cadangan laluan pintasan rel yang menghubungkan Senawang dengan Pelabuhan Klang.

Katanya, projek itu penting bagi meningkatkan kecekapan sistem logistik dan memendekkan masa penghantaran produk yang dihasilkan industri di Negeri Sembilan ke destinasi eksport.

“Yang kedua ialah menjayakan projek Seremban Central dan meningkatkan kekerapan perjalanan antara Seremban dan Kuala Lumpur, manakala yang ketiga ialah cadangan pembangunan sebuah hab pelabuhan di Negeri Sembilan.

“Ketiga-tiga projek ini penting kerana kita mahu memanfaatkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai hab pengangkutan strategik di tengah Malaysia,” katanya.

Foong Hin berkata, kelebihan dari segi sistem pengangkutan dan logistik yang lebih baik juga mampu menarik lebih banyak pelaburan serta industri pembuatan ke negeri itu.

Katanya, dua lagi projek berimpak tinggi yang memerlukan kerjasama Kerajaan Persekutuan ialah pembinaan sebuah hospital baharu di Bandar Enstek serta penggubalan dasar bagi membolehkan generasi kedua Ferlda membina rumah dalam kawasan rancangan Felda.

“Kelima-lima perkara ini lebih konkrit dan boleh dilihat. Ia bukan sekadar angan-angan kerana kita mempunyai kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri yang boleh bekerjasama untuk melaksanakannya.

“Kalau kita mahu ekonomi Negeri Sembilan berkembang, negeri ini tidak boleh hanya bergantung kepada sektor perkhidmatan. Kita mesti mempunyai lebih banyak sektor pembuatan dan untuk itu, sistem logistik yang cekap adalah kunci kepada pertumbuhan negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan penting bagi memastikan projek-projek berimpak tinggi dapat direalisasikan demi manfaat rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Negeri Sembilan menggunakan hak mengundi dengan mempertimbangkan perancangan pembangunan yang mampu memberikan manfaat sebenar kepada negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kita bukan mahu mencari gaduh dengan sesiapa. Kita berlawan berdasarkan fakta dan hujah. Apa yang penting, rakyat perlu melihat siapa yang mempunyai perancangan yang jelas untuk masa depan Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast