PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan adalah penting untuk memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 kekal selari dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, ia bagi memastikan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat diteruskan serta dilaksanakan dengan mudah dan segera.
Apatah lagi, ujar beliau, PH Negeri Sembilan bertekad dalam memastikan setiap apa yang ditawarkan menerusi manifesto gabungan parti itu yang dilancarkan kelmarin dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Sebab itu penting bagi sesebuah kerajaan negeri hari ini bersama dengan Kerajaan Pesekutuan supaya senada dan seirama dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan memastikan rakyat mendapat manfaatnya.
“Kita tak nak kita tak senada dengan Kerajaan Pusat yang akhirnya merugikan rakyat di Negeri Sembilan ini sendiri,” katanya kepada pemberita selepas turun padang bertemu penduduk di sekitar Kampung Tanjung Agas, Linggi di sini, semalam.
Tambah Aminuddin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, rekod kejayaan dan pencapaian Negeri Sembilan juga menunjukkan lonjakan membanggakan sejak kerajaan negeri sealiran dengan Kerajaan Pusat khususnya bermula pada 2023.
“Sejak 2023, kita nampak bahawa keserasian antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat yang sama-sama ditunjangi Pakatan Harapan mendorong negeri ini untuk terus melonjak (dari segi pembangunan dan pencapaian).
“Ini membuktikan bahawa negeri dan Persekutuan harus selari dan serasi untuk kita bangunkan negeri ini, seterusnya lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Kelmarin, PH memperkenalkan manifestonya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dalam usaha dapat meneruskan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
Menerusi manifesto itu, PH menggariskan 10 komitmen meliputi Mengekalkan Kerajaan Stabil, Bersih dan Mesra Rakyat; Memperkasa Skim Sejahtera Rakyat (SSR), Ekonomi Berdaya Saing dan Mewujudkan 30,000 Peluang Pekerjaan Bergaji Tinggi; Pendidikan Berkualti Untuk Semua serta Membina 20,000 Rumah Mampu Milik dan Penyelesaian Isu Tanah.
Selain itu, Belia, Wanita dan Keluarga Diberi Keutamaan; Pembangunan Pelancongan dan Warisan Adat, Kemajuan Seimbang Bandar dan Luar Bandar serta FELDA; Pertanian Moden dan Keterjaminan Makanan; Infrastruktur Strategik dan Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti serta Perpaduan Agama, Keharmonian dan Kemajuan untuk Semua.
Manifesto PH turut menggariskan matlamat untuk menjayakan lima projek berimpak tinggi, iaitu Seremban Sentral dan kekerapan komuter Seremban–Kuala Lumpur (KL), hospital baharu di Bandar Enstek, Nilai; pelaburan antarabangsa baharu di Port Dickson, pembinaan Rumah Kedua di lot kediaman FELDA dan merealisasikan Pintasan Senawang-Port Klang. – MalaysiaGazette
















