Calon PH bagi DUN Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak
Calon PH bagi DUN Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak

SEREMBAN – Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Negeri Sembilan diyakini memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak berkata, kehadiran Anwar yang juga Pengerusi PH mampu meningkatkan keyakinan pengundi terhadap gabungan itu.

Menurut beliau, keyakinan itu turut didorong kejayaan Kerajaan Persekutuan serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu rakyat.

“Sudah tentu (beri lonjakan kepada PH). Saya melihatnya berdasarkan kejayaan Kerajaan Persekutuan dan banyak inisiatif yang telah dilaksanakan untuk membantu rakyat, bukan sahaja di DUN Labu tetapi di seluruh Negeri Sembilan.

“Saya rasa perkara itu merupakan satu kelebihan kepada PH,” katanya ketika ditemui selepas siri walkabout sempena PRN Negeri Sembilan di Kampung Gadong Jaya dan Batu 8, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kehadiran Anwar yang turun padang di Negeri Sembilan hari ini bagi mendekati rakyat serta membantu kempen PH menjelang hari pengundian, 1 Ogos depan.

Anwar yang juga Presiden PKR dijadual menghadiri empat program melibatkan kawasan Ampangan, Paroi, Sikamat dan Senawang, merangkumi sesi bersama masyarakat, belia serta ceramah perdana gabungan berkenaan.

Beliau akan memulakan siri program pada 4 petang ini menerusi Santai Petang Bersama Warga Ampangan di Benteng @ Medan Selera Ampangan, sebelum menghadiri Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan (KOMBES), Paroi, pada 5 petang.

Pada sebelah malam pula, Anwar dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sebelum menyertai ceramah perdana Pakatan Harapan DUN Paroi di Pusat Bandar Senawang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast