KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyambung momentum kejayaan siaran langsung Piala Dunia FIFA 2026 dengan bertindak sebagai penyiar rasmi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026, yang berlangsung esok hingga 2 Ogos ini.
RTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan liputan siaran langsung aksi atlet negara di persada antarabangsa itu akan disiarkan menerusi saluran Sukan+ di platform MYTV 111, RTMKlik termasuk media sosial rasmi RTM selain melalui saluran Sukan+ di platform Astro 806.
RTM dijadualkan membuat liputan menyeluruh acara berprestij itu bermula dengan Upacara Pembukaan yang disiarkan pada awal pagi hingga ke Majlis Penutup Sukan Komanwel Glasgow 2026.
“Sepanjang tempoh berlangsungnya temasya ini juga, RTM menyiarkan kepada seluruh rakyat Malaysia dua sesi siaran langsung laporan harian, tiga jam setiap sesi dan satu slot sorotan harian selama sejam.
“Secara keseluruhannya, RTM akan memberikan penonton hampir 100 jam jumlah siaran bagi memberikan pengalaman mengikuti acara-acara yang berlangsung di Glasgow, Scotland,” menurut kenyataan itu.
Dua sesi siaran langsung laporan harian, iaitu sesi pagi bermula 24 Julai hingga 2 Ogos dari 6 petang hingga 9 malam diikuti sesi petang mulai 25 Julai hingga 2 Ogos dari 1 hingga 4 pagi manakala masing-masing tiga jam setiap sesi dan satu slot sorotan harian mulai 25 Julai hingga 3 Ogos selama sejam iaitu dari 2 hingga 3 petang.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa siaran langsung Granstan Upacara Pembukaan temasya tersebut pada 24 Julai berlangsung dari 2.30 hingga 5.30 pagi manakala Granstan Upacara Penutup dijadualkan berlangsung pada 3 Ogos dari 2.30 hingga 5.30 pagi, yang dikemudikan oleh hos berpengalaman antaranya Zachki Ahmad Suri dan Jeed Zulkefli.
“Ini merupakan kesinambungan yang diteruskan RTM untuk memberikan kandungan sukan berkualiti kepada rakyat Malaysia selepas lebih sebulan menyajikan Piala Dunia FIFA 2026,” menurut kenyataan itu.
Kontinjen Malaysia diketuai Chef de Mission Datuk Awalan Abdul Aziz dan dibarisi 59 atlet, termasuk 22 atlet para, yang akan bersaing dalam 64 acara melibatkan lapan daripada keseluruhan 10 jenis sukan yang dipertandingkan.
Antara sukan yang disertai ialah angkat berat dan powerlifting, renang dan para renang, berbasikal trek dan para berbasikal trek, bola keranjang 3×3 dan bola keranjang kerusi roda 3×3, gimnastik artistik, judo, boling padang dan para boling padang serta olahraga dan para olahraga.
Sasaran kontinjen Malaysia tahun ini ialah membawa pulang lima pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa, berdasarkan potensi atlet serta prestasi semasa yang dipamerkan menjelang temasya.
— BERNAMA
















