Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Pusat Bandar Senawang Taipan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

PAROI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa perebutan kuasa dan jawatan Menteri Besar menjadi punca sebenar berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lebih awal, bukannya disebabkan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kestabilan politik amat penting bagi ekonomi terus berkembang kerana ketidaktentuan politik boleh menyebabkan pelabur hilang keyakinan untuk datang ke sesebuah negara atau negeri.

“Untuk menjaga kestabilan, ekonomi kita juga perlu stabil. Banyak negara berbincang mengenai ekonomi yang tidak stabil. Bila ekonomi tidak stabil, politik tidak stabil, pelabur tidak datang. Yang susah rakyat,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam pentas jelajah ‘Kekal Harapan’ Negeri Sembilan, malam tadi.

Hadir sama adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut Anwar, sepanjang lebih tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, beliau tidak pernah mendengar pimpinan kerajaan membangkitkan dakwaan bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun gagal menjalankan tanggungjawab atau tidak turun padang menyelesaikan masalah rakyat.

Sebaliknya, beliau berkata, isu yang timbul kini lebih menjurus kepada persoalan kuasa, termasuk siapa yang bakal menjadi Menteri Besar sekiranya gabungan tertentu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN.

“Saya tidak pernah dengar dalam tempoh tiga tahun setengah sejak jadi Perdana Menteri bahawa beliau ini hanya ikut telunjuk DAP. Saya tidak pernah dengar daripada pimpinan kita.

“Jelas sebenarnya mereka mahukan kuasa. Bila bukan Menteri Besar, calon mereka bukan Menteri Besar. Itulah ketuanya, bukan kita,” katanya lagi.

Anwar berkata, sekiranya benar terdapat kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri, perkara itu sepatutnya dinilai berdasarkan rekod perkhidmatan, pembangunan, pelaburan serta usaha menyelesaikan masalah rakyat, bukannya dijadikan alasan untuk merebut kuasa.

Beliau turut mempertahankan rekod pentadbiran Aminuddin dengan menyifatkan calon-calon PH pada PRN kali ini sebagai pilihan terbaik berdasarkan rekod khidmat, akhlak dan komitmen mereka kepada rakyat.

“Saya tengok dari segi track record, dari segi khidmat, dari segi akhlak pemimpin, ini calon kita yang terbaik.

“Sebab itu saya kata, tengok rekod pembinaan masjid baharu. Paling banyak dalam tempoh dua tahun di Negeri Sembilan. Tetapi bukan masjid saja, banyak lagi program sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha membangunkan masyarakat Melayu dan Bumiputera perlu dilaksanakan melalui tadbir urus yang baik dan telus, selain memastikan kepentingan masyarakat Cina dan India turut dipelihara.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempunyai agenda jelas untuk meningkatkan taraf hidup orang Melayu, namun usaha tersebut tidak seharusnya mengorbankan hak dan kepentingan masyarakat lain.

“Kalau kita tidak pasang satu agenda membangkitkan orang Melayu, orang Melayu tidak akan tahu. Tetapi program kita nak tolong Melayu ini berjaya. Banyak program untuk Melayu dan Bumiputera kerana pengurusannya telus.

“Jadi inilah sebab kita sebut dari segi tatakelola dan pengurusan yang baik. Saya dalam jemaah Menteri ada Mat Sabu, Anthony Loke,” katanya.  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast