SEREMBAN – Pengiktirafan Terminal One Seremban sebagai Terminal Gred A menjadi bukti manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum ini bukan sekadar janji politik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penarafan itu bukan sekadar konsep semata-mata bahkan ia berjaya diterjemahkan kepada projek yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Pengiktirafan itu bukan lagi soal janji pilihan raya kerana kerja menaik taraf terminal berkenaan telah pun dilaksanakan sehingga menerima pengiktirafan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Ini bukan soal manifesto lagi, tetapi soal pelaksanaan.
“Apa yang kita harapkan apabila rakyat Negeri Sembilan melihat sudah ada penambahbaikan, pencapaian dan Terminal One merupakan antara projek ikonik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam mentransformasikan bandar raya ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pengiktirafan Terminal Gred A kepada Terminal One Seremban, hari ini.
Anthony berkata, kejayaan itu membuktikan sebuah terminal lama mampu diberikan nafas baharu sehingga memenuhi piawaian kebangsaan.
“Transformasi itu selari dengan usaha menjadikan Seremban sebuah bandar raya moden, inklusif dan mempunyai sistem pengangkutan awam yang lebih berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, pengiktirafan tersebut juga menunjukkan pelaburan kerajaan negeri dalam menaik taraf infrastruktur awam.
“Ia juga memberi pulangan kepada rakyat menerusi kemudahan yang lebih selesa dan cekap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















