SEREMBAN – Keputusan meletakkan jawatan tidak seharusnya dijadikan sebagai alat tekanan atau drama politik, sebaliknya perlu dibuat berasaskan prinsip, tanggungjawab dan amanah kepada rakyat.
Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, setiap kenyataan yang dibuat oleh seseorang pemimpin membawa tanggungjawab besar kerana rakyat bukan sahaja melihat keberanian mereka bersuara.
Malah katanya, rakyat turut menilai prinsip, konsistensi dan kematangan dalam membuat keputusan dan soal peletakan jawatan bukanlah sesuatu yang patut dijadikan permainan politik, kerana ia melibatkan maruah serta kepercayaan rakyat.
“Kepada semua pemimpin politik, jika benar mahu meletakkan jawatan, lakukanlah kerana prinsip dan tanggungjawab dan janganlah jadikan isu ini sebagai satu bentuk drama politik yang akhirnya mengelirukan rakyat.
“Akhirnya, rakyat menilai tindakan serta konsistensi kita dan bagaimana kita menjaga amanah yang diberikan. Politik yang matang bukan tentang siapa paling lantang, tetapi siapa paling bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas perkembangan semasa, Dr. Sathia berkata, isu membabitkan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung peletakan jawatan telah menarik perhatian rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh aspek adab dalam politik apabila kenyataan yang membandingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan istilah yang dikaitkan dengan haiwan mencetuskan reaksi pelbagai pihak.
“Dalam demokrasi, kritikan adalah hak setiap individu, tetapi kebebasan bersuara perlu disertai dengan tanggungjawab dan penghormatan terhadap institusi negara.
“Kita boleh berbeza pandangan, boleh berdebat dengan tegas tetapi cara kita berkomunikasi menunjukkan tahap kematangan dan nilai seseorang pemimpin,”tambahnya.
Beliau berkata, oerdana menteri memahami bahawa kerajaan yang kukuh bukanlah kerajaan yang menolak kritikan, sebaliknya bersedia mendengar, memperbaiki kelemahan dan terus bekerja demi kepentingan rakyat.
“Namun begitu, budaya politik Malaysia perlu bergerak ke arah yang lebih matang kerana rakyat hari ini mahu melihat pemimpin bercakap tentang dasar, penyelesaian masalah rakyat dan masa depan negara.
“Rakyat bukan hanya mahu melihat pertandingan siapa paling kuat membuat kenyataan yang mencetuskan polemik. – MalaysiaGazette
















