Bendera Pakatan Harapan berkibar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Pekan Linggi, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 22 JULAI 2026.

SEREMBAN – Pengundi Negeri Sembilan disaran memberi peluang sekali lagi kepada gabungan parti politik yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan untuk meneruskan pentadbiran negeri bagi penggal akan datang.

Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Sains Sosial, Universiti Antarabangsa Albukhary, Prof. Madya Dr. Norizan Azizan berkata, kemenangan Pakatan Harapan (PH) penting bagi memastikan kestabilan politik negeri selain menjamin sokongan berterusan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun perlu dikekalkan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.

“Bagi kestabilan di peringkat nasional pula, kemenangan PH di negeri itu pastinya mampu meredakan ura-ura DAP meletakkan jawatan daripada semua jawatan politik di peringkat Persekutuan, memastikan Kerajaan Madani kekal utuh sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Jadi, PRN Negeri Sembilan kali ini boleh dianggap amat penting untuk mencorakkan senario politik negara ketika negara berdepan pelbagai cabaran dalam dan luar negara sehingga kerajaan memutuskan untuk mengadakan PRU16,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Prof. Madya Dr. Norizan Azizan
Prof. Madya Dr. Norizan Azizan

Dalam pada itu, Norizan berkata, pengundi di Negeri Sembilan, khususnya golongan muda, perlu membuat pilihan bijak dalam menentukan gabungan politik terbaik untuk menerajui pentadbiran negeri bagi penggal seterusnya.

Katanya, keputusan itu penting bagi memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara, selain membolehkan pentadbiran kerajaan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat dan pembangunan Negeri Sembilan.

“PRN Negeri Sembilan ini dilihat penting untuk mencorakkan landskap politik negara yang ketika ini berdepan pelbagai cabaran dalam dan luar negara sehingga kerajaan memutuskan untuk mengadakan PRU16,” katanya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, beliau mahu parti itu terus kekal dalam Kerajaan Persekutuan, namun akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat perwakilan pada Kongres DAP, 16 Ogos ini.

Menurut Loke, perkara itu akan diputuskan melalui undi sulit membabitkan kira-kira 3,000 hingga 4,000 perwakilan dan beliau akan menghormati keputusan berkenaan walaupun ia bertentangan dengan pendirian kepimpinan parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast