KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong (SFC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama pasaran modal melalui pengiktirafan bersama serta penyenaraian silang dana pelaburan dan amanah pelaburan hartanah (REIT).
MoU itu turut mewujudkan rangka kerja kawal selia bagi memudahkan proses dwipenyenaraian Tawaran Awam Permulaan (IPO) antara Malaysia dan Hong Kong.
Majlis menandatangani perjanjian berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Julia Leung di ibu pejabat SC di sini, hari ini.
Menurut SC, kerjasama itu dijangka memperluaskan peluang pelaburan kepada penerbit dan pelabur, meningkatkan akses kepada modal serta memperkukuh penyertaan rentas sempadan antara kedua-dua pasaran.
Mohammad Faiz berkata, MoU tersebut merupakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh hubungan pasaran modal Malaysia dan Hong Kong.
“MoU ini mewujudkan rangka kerja praktikal untuk memudahkan pelaburan rentas sempadan yang lebih besar, meluaskan akses kepada pasaran modal masing-masing serta meningkatkan peluang pelaburan kepada penerbit dan pelabur di kedua-dua bidang kuasa,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu juga dijangka membuka lebih banyak peluang penyenaraian rentas sempadan dan memperkukuh hubungan kewangan serta aktiviti pelaburan antara Malaysia dan Hong Kong.
Sementara itu, Julia Leung berkata, MoU tersebut mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperluaskan saluran pelaburan rentas sempadan dan menyediakan lebih banyak pilihan kepada pelabur.
“Ia turut mengukuhkan komitmen kami untuk memajukan pembangunan pasaran modal Asia melalui peningkatan ketersambungan, piawaian kawal selia yang kukuh serta perlindungan pelabur,” katanya.
Di bawah perjanjian itu, Bursa Saham Hong Kong Limited turut mengiktiraf Bursa Malaysia Securities Berhad sebagai Bursa Saham Diiktiraf (Recognised Stock Exchange), sekali gus membolehkan syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia memohon penyenaraian sekunder di Hong Kong.
Rangka kerja baharu itu juga membolehkan syarikat yang ingin melaksanakan IPO utama dan penyenaraian sekunder secara serentak menggunakan satu set dokumen penyerahan termasuk prospektus.
Selain itu, skop pengiktirafan bersama dana diperluaskan kepada dana dagangan bursa (ETF), termasuk ETF berasaskan niaga hadapan, ETF berleveraj, ETF songsang dan ETF komoditi, selain memudahkan penyenaraian silang REIT di kedua-dua pasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, SC turut memeterai satu lagi MoU dengan Majlis Perakaunan dan Pelaporan Kewangan (AFRC) Hong Kong bagi memperkukuh kerjasama dalam perkongsian maklumat, penyeliaan serta pemantauan pematuhan pelaporan kewangan dan audit melibatkan isu rentas sempadan.
SC memaklumkan dasar baharu berkaitan pengiktirafan bersama dana berkuat kuasa serta-merta, manakala rangka kerja dwipenyenaraian IPO yang dipermudahkan dijadual mula berkuat kuasa pada September 2026. – MalaysiaGazette
















