KUALA SELANGOR – Usaha meningkatkan kesedaran mengenai bahaya pornografi, undang-undang siber dan etika digital dalam kalangan remaja dianjurkan menerusi Projek X: Cut The Strings, program selama tiga hari dua malam yang berlangsung di Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor (KUSESS) baru-baru ini.
Program itu dianjurkan oleh mahasiswa Semester Dua Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Penyiaran, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerusi kursus COM540 Undang-Undang Media, Peraturan dan Etika.
Ketua Projek, Hazrel Amirullah Haslan berkata, program berkenaan dirangka bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar tingkatan tiga mengenai risiko jenayah siber, pemilikan dan penyebaran kandungan lucah serta kepentingan mengamalkan etika ketika menggunakan platform digital.
“Kami mahu mesej ‘Cut The Strings’ benar-benar difahami supaya pelajar sedar mereka perlu memutuskan pengaruh negatif pornografi dan ancaman siber demi masa depan yang lebih sihat.
“Penggunaan peranti pintar perlu disertai kawalan kendiri dan tanggungjawab agar remaja tidak terjerumus ke dalam jenayah siber tanpa disedari,” katanya.
Beliau berkata, program khidmat masyarakat itu turut menjadi platform kepada mahasiswa UiTM mengaplikasikan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pengurusan program dalam situasi sebenar.
Penasihat program, Dr. Mohd Yusof Zulkefli berkata, pendidikan berkaitan etika siber dan jenayah seksual digital perlu disampaikan menggunakan pendekatan interaktif yang selari dengan cabaran generasi muda masa kini.
Menurutnya, kaedah berasaskan pengalaman seperti simulasi dan perbincangan berkumpulan lebih berkesan dalam membantu pelajar memahami implikasi undang-undang serta tanggungjawab sebagai pengguna media sosial.
“Melalui aktiviti secara praktikal dan perbincangan santai, pelajar lebih mudah memahami bahaya di alam maya serta belajar berfikir sebelum memuat naik atau berkongsi sesuatu kandungan,” katanya.
Guru Bimbingan dan Kaunseling KUSESS, Nor Al Wani Sulaiman pula menyifatkan program itu sebagai inisiatif yang mampu membantu membentuk sahsiah serta meningkatkan ketahanan mental pelajar dalam menghadapi cabaran dunia digital.
Katanya, pendedahan awal mengenai kesan emosi, psikologi dan sosial akibat pengaruh kandungan negatif di internet amat penting memandangkan pelajar kini menggunakan peranti digital hampir setiap hari.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai modul termasuk ceramah, simulasi situasi, perbincangan kumpulan dan sesi refleksi kendiri bagi meningkatkan pemahaman mengenai undang-undang siber serta etika media.
Program itu turut menerima maklum balas positif daripada peserta yang menyifatkan pengisian aktiviti menarik serta membuka mata mereka terhadap risiko penyalahgunaan media sosial.
Salah seorang peserta, Muhammad Jibreel Norazmir berkata, program tersebut memberi kesedaran baharu mengenai ancaman di alam maya.
“Saya bagi 10 daripada 10. Program ini sangat menyeronokkan dan benar-benar membuka mata kami tentang bahaya alam maya yang selalu diabaikan,” katanya.
Seorang lagi peserta, Umar Sharif Jefri berkata, modul simulasi membantunya memahami implikasi undang-undang berkaitan penyalahgunaan platform digital.
“Sebelum ini saya fikir perkongsian di media sosial perkara biasa, tetapi selepas mengikuti slot undang-undang siber, saya sedar pemilikan atau penyebaran bahan yang tidak sepatutnya boleh membawa tindakan undang-undang,” katanya.
Bagi Muhammad Haziq Ziqri Mohd Hanafiah, pendekatan fasilitator yang santai memudahkan pelajar memahami topik berkaitan etika digital, manakala Najla Aulia Rozail Fitri berharap program seumpama itu diperluaskan ke lebih banyak sekolah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja.
Penganjuran Projek X bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar sekolah, malah membolehkan mahasiswa UiTM mengaplikasikan teori undang-undang dan etika media dalam situasi sebenar, sekali gus mengukuhkan kemahiran komunikasi, kepimpinan serta khidmat masyarakat. – MalaysiaGazette
















