REMBAU – Malaysia sudah memberikan penjelasan rasmi kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) berhubung pendirian negara yang tidak pernah mengiktiraf Israel, jelas Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menteri Luar itu berkata, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob telah dipanggil Jabatan Negara AS (DoS) untuk memberikan penjelasan berhubung dasar Malaysia itu.
Menurutnya, pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel dan rejim Zionis bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama menjadi dasar negara termasuk dalam urusan imigresen.
“Memang menjadi dasar Malaysia, dasar imigresen kita tidak memperakui negara Israel dan rejim Zionis.
“Ini sudah lama, bukan baharu, tetapi kerana ada satu orang itu yang ada dua kewarganegaraan, iaitu AS dan Israel, dia datang ke sini menggunakan kewarganegaraan AS.
“Bagaimanapun, bila disemak semula, dia ternyata mempunyai satu lagi kewarganegaraan Israel, maka kita minta dia keluar,” katanya dalam program Santai Bersama Tok Mat Hasan di Pedas, hari ini.
Beliau berkata, individu berkenaan pada asalnya memasuki Malaysia menggunakan kewarganegaraan AS, namun semakan lanjut mendapati dia turut mempunyai kewarganegaraan Israel.
Justeru, katanya, tindakan kerajaan meminta individu terbabit meninggalkan negara adalah selaras dengan dasar imigresen Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel.
Mohamad berkata, Malaysia sudah menjelaskan perkara itu kepada pihak AS melalui saluran diplomatik selepas Duta Besar Malaysia dipanggil Jabatan Negara AS.
“Perkara ini sedang kita uruskan dengan baik. Saya rasa ia bukan satu isu besar,” katanya.
Beliau berkata, pendirian Malaysia dalam isu berkenaan kekal konsisten dan tidak berubah, termasuk dasar negara yang tidak mengiktiraf Israel.
Katanya, Malaysia akan terus menguruskan perkara itu melalui saluran diplomatik yang sewajarnya bagi memastikan pendirian negara difahami oleh pihak berkaitan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau turut menyuarakan pendirian Malaysia mengenai konflik di Palestin ketika bertemu dengan Setiausaha Negara AS.
Katanya, Malaysia secara tegas menolak alasan mempertahankan diri yang digunakan Israel bagi menghalalkan pembunuhan orang awam di Palestin.
“Saya beritahu, berapa ramai lagi rakyat Palestin yang kamu nak bunuh? Saya cakap dengan Setiausaha Negara Amerika, dia duduk sebelah saya.
“Kamu sudah membunuh wanita dan kanak-kanak. Apa alasan yang hendak diberikan untuk membunuh mereka? Alasan untuk mempertahankan diri tidak boleh kita terima,” katanya.
Menurut Mohamad, Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung nasib rakyat Palestin serta menolak sebarang tindakan yang mengakibatkan kematian orang awam, khususnya wanita dan kanak-kanak.
Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan prinsip Malaysia yang sentiasa menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan serta menolak tindakan kekerasan terhadap orang awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menegaskan Malaysia akan terus berpegang kepada pendirian menyekat kemasukan warganegara Israel ke negara ini meskipun lapan Ahli Kongres AS menyuarakan rasa tidak berpuas hati atas keputusan itu.
Anwar berkata pendirian itu berasaskan prinsip mempertahankan hak rakyat serta menentang kezaliman, pencerobohan dan pembunuhan berterusan yang berlaku terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Beliau berkata dasar menyekat kemasukan warganegara Israel ke Malaysia bukannya perkara baharu, sebaliknya telah dilaksanakan sejak puluhan tahun dan sepatutnya sudah sedia maklum oleh pihak AS. – MalaysiaGazette
















