Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA PILAH – Barisan Nasional (BN) mempunya senarai panjang calon yang layak dipertimbangkan menjadi Menteri Besar sekiranya ia diberi mandat oleh pengundi untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, BN memiliki gabungan pemimpin berpengalaman dan muka baharu yang berkelayakan, termasuk mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan negeri.

Menurut beliau, dakwaan kononnya BN masih belum mempunyai calon Menteri Besar adalah tidak berasas kerana perkara itu akan diputuskan mengikut proses yang ditetapkan selepas pilihan raya.

“Kita ada senarai yang panjang calon-calon Menteri Besar yang akan dipersembahkan kepada Tuanku apabila tiba masanya nanti.

“Tidak timbul soal tiada calon kerana dalam kalangan calon-calon BN, kita ada kombinasi mereka yang berpengalaman, pemimpin muda dan juga mereka yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran negeri.

“Saya kira mereka ini mampu menjadi calon Menteri Besar yang berwibawa untuk kita tawarkan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas berkempen bersama calon BN DUN Pilah, S. Leza Md Yasin, di sini.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan siapa calon Menteri Besar daripada Pakatan Harapan (PH) sekiranya penyandang Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun tewas di kerusi Linggi yang disifatkannya sebagai kubu kuat BN.

“Kita nak tanya, siapakah Menteri Besar bagi Pakatan Harapan sekiranya Tok Min kalah di kubu kuat BN di Linggi?,” soalnya sambil tersenyum.

Mengulas perkembangan kempen, Asyraf berkata, kerjasama jentera BN dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat akar umbi semakin baik apabila kedua-dua pihak bergerak seiring serta membawa mesej yang selari sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, perkembangan itu turut diterjemahkan melalui sambutan positif di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang sebelum ini dimenangi pihak lawan.

“Kalau kita lihat, banyak PDM yang dahulunya Barisan Nasional kalah, kali ini penyokong keluar beramai-ramai menyatakan komitmen untuk memberikan undi kepada BN.

“Begitu juga pendukung BN membantu calon-calon PN dan kita harap semangat itu akan diterjemahkan di atas kertas undi pada 1 Ogos nanti,” ujarnya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast