KUALA LUMPUR – “Saya bukan ahli politik. Kalau nak suruh saya jadi negarawan, saya mahu jadi”.
Itu penegasan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay yang tidak berhasrat untuk menceburi bidang politik selepas bersara wajib daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula esok.
Beliau berkata, urusan politik sewajarnya diserahkan kepada ahli politik kerana beliau tidak pernah mempunyai cita-cita untuk terlibat dalam bidang berkenaan.
“Politik, serahkan kepada orang politik. Seperti yang saya katakan tadi, saya bukan ‘orator’ dan saya bukan ahli politik. Kalau nak suruh saya jadi negarawan, saya mahu jadi.
“Apa beza negarawan dengan ahli politik? Ahli politik memikirkan tempoh lima tahun akan datang untuk kekal, tetapi negarawan memikirkan 20 tahun akan datang. Politik ini macam-macam,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.
Ditanya sama ada pernah berdepan campur tangan politik ketika menjalankan tugas, Ayob Khan berkata, beliau tidak pernah berkompromi dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Beliau mengambil contoh penahanan 15 individu, termasuk dua pemimpin parti kerajaan ketika itu, pada November 2019 kerana disyaki terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
“Saya tangkap juga. Adakah itu menunjukkan ada campur tangan politik? Tidak ada.
“Kalau seseorang itu melintasi garisan undang-undang, saya akan tangkap. Kita tidak kira sama ada daripada parti kerajaan atau pembangkang,” katanya.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, sekiranya Malaysia mahu memiliki pasukan polis bertaraf dunia, PDRM perlu diberikan ruang untuk melaksanakan penguatkuasaan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“Kalau kita hendak menjadi pasukan polis bertaraf dunia, kita kena beri ruang kepada polis untuk menguatkuasakan undang-undang. Pada saya, jangan campur tangan.
“Tidak kira siapa pun, jika melanggar undang-undang, tindakan mesti diambil,” katanya.
Sementara itu, Ayob Khan turut mengulangi pendiriannya berhubung pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dengan menyatakan beliau sebelum ini tidak bersetuju akta berkenaan dimansuhkan.
“Apabila saya bercakap mengenai ISA, ramai yang tidak selesa. Yang sudah dibubarkan, bubarlah. Tetapi kalau ditanya pendirian saya, saya tidak nampak asas untuk ia dibubarkan.
“Saya memang menyatakan pendirian tidak bersetuju akta itu dimansuhkan, tetapi ia sudah pun dibubarkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















