TAMPIN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang tindakan susulan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji perlu mengikut proses undang-undang tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Beliau berkata, kerajaan dijangka membuat keputusan berhubung laporan RCI itu pada Mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini sebelum ia diputuskan untuk didedahkan kepada umum.
Menurutnya, mana-mana pihak yang tidak melakukan kesalahan berhak mempertahankan diri, manakala mereka yang didapati bersalah perlu didakwa dan menerima hukuman mengikut proses perundangan.
“Sekarang ada perbahasan sedikit tentang Tabung Haji. Saya tak mahu bicara panjang, mudah-mudahan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari Rabu, kita akan putuskan. Ada laporan. Biar orang baca.
“Siapa kalau tak salah, pertahankan. Kalau salah, dakwa. Kalau dihukum, masuk penjara, masuk penjara, Itu bukan urusan saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison Gemas, Kem Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.
Anwar berkata, setiap institusi mempunyai bidang kuasa masing-masing dan perdana menteri tidak boleh mencampuri proses siasatan, pendakwaan mahupun keputusan mahkamah.
“Sistem kita meletakkan, siasat, itu badan siasat. Buat pertuduhan, itu peguam negara.
“Hukum (dijatuhkan), para hakim. Itu bukan urusan Perdana Menteri. Tetapi seorang Perdana Menteri yang diamanahkan harus jujur menyatakan mesti bebas ikut proses Perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, isu amanah tidak boleh dipandang ringan kerana pengkhianatan terhadap amanah akhirnya memberi kesan kepada negara.
“Saya singgung hal ini kerana negara bagi saya tidak mungkin mempertahankan keamanannya kalau orang yang diamanahkan itu mengkhianati amanah,” katanya. – MalaysiaGazette
















