Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja warga Bangladesh berdepan detik cemas selepas disamun lelaki tempatan menggunakan senjata dipercayai pistol dalam kejadian di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sibu, Taman Wahyu di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, suspek dipercayai memasuki premis berkenaan dengan memakai baju sejuk dan seluar berwarna kelabu selain topi keledar hitam serta membawa beg silang.

Terdahulu polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengurus operasi premis berusia 44 tahun pukul 10.01 pagi.

“Suspek kemudian mengambil beberapa barangan makanan dari rak jualan sebelum memasukkannya ke dalam beg yang dibawa dan menuju ke kaunter pembayaran serta mengarahkan mangsa warga Bangladesh membuka laci mesin juruwang.

“Suspek turut mengugut mangsa dengan menunjukkan sepucuk pistol sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal bernombor pendaftaran WC357R yang diparkir di hadapan pintu masuk premis.

“Dalam kejadian ini, jumlah kerugian yang dialami kira-kira RM1,052,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, polis telah melancarkan operasi khas bagi mengesan serta menangkap suspek dan kes akan disasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast