Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun menyantuni penduduk ketika hadir ke majlis tahlil dan doa selamat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kampung Bukit Tembok, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 28 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun merayu anak perantauan supaya pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Sabtu ini.

Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, undi anak perantauan itu sangat penting dalam memastikan kerajaan negeri baharu yang terbentuk kelak benar-benar mewakili sokongan dan suara majoriti rakyat.

Ujarnya, sama ada pengundi itu adalah golongan yang bekerja di luar Negeri Sembilan, atau merupakan kumpulan pelajar serta pengundi kali pertama, kesemua mereka mempunyai tanggungjawab besar sebagai pemilih.

“Kita juga mohon kepada ibu bapa yang tinggal di Negeri Sembilan supaya dapat mengingatkan anak-anak masing-masing atau ahli keluarga mereka yang lain supaya pulang mengundi dan melaksanakan proses demokrasi pada 1 Ogos ini,” katanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap kepada wartawan selepas menyantuni penduduk ketika hadir ke majlis tahlil dan doa selamat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kampung Bukit Tembok, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 28 JULAI 2026.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri majlis tahlil dan doa selamat di kediaman penduduk di Pasir Panjang, Linggi di sini, petang semalam.

Menurut Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berdasarkan data semasa, banyak kawasan Parlimen di Negeri Sembilan menyaksikan pengundinya merupakan anak perantauan.

Antaranya, kata beliau, di daerah Kuala Pilah; Jelebu dan Tampin, manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti Seri Menanti; Senaling dan Juasseh pula kira-kira 20 hingga 30 peratus merupakan pengundi anak rantau.

Pada 2023, kadar keluar mengundi PRN Negeri Sembilan adalah sebanyak 68.35 peratus daripada keseluruhan 862,425 pemilih berdaftar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast