Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni pengundi ketika berkempen dari rumah ke rumah di Taman Paroi Jaya, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Berbaki dua hari sebelum kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir, calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad berkata beliau telah menjelajah kira-kira 80 hingga 90 peratus kawasan pilihan rayanya.

Menurut beliau, baki tempoh kempen akan dimanfaatkan untuk menyantuni kawasan yang masih belum sempat dikunjungi termasuk lorong dan jalan tertentu.

“Saya rasa lebih kurang 80 hingga 90 peratus lokaliti sudah saya pergi. Mungkin masih ada lorong-lorong atau jalan yang belum disentuh.

“Jumaat nanti saya akan fokus kawasan yang masih tertinggal,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni pengundi ketika berkempen dari rumah ke rumah di Taman Paroi Jaya, Seremban, hari ini.

Selain itu, Nor Azman berharap pengundi luar pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian walaupun berdepan kekangan kerja.

“Saya harap pengundi luar ambil masa untuk balik mengundi.

“Kepada para majikan, saya mohon beri pelepasan kepada pekerja supaya mereka dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Beliau berkata, kadar keluar mengundi kali ini dijangka dipengaruhi faktor cuaca dan kesediaan pengundi luar pulang ke kampung halaman.

Sementara itu, Nor Azman juga berkata, kerajaan sudah memperluaskan lebih banyak bantuan kepada rakyat termasuk golongan M40 selepas syarat kelayakan beberapa skim bantuan dinaikkan.

Jelasnya, antara perubahan yang dilakukan ialah bantuan keceriaan warga emas yang sebelum ini hanya diberikan kepada mereka berusia 70 tahun kini diturunkan kepada umur 65 tahun.

“Penerima berusia 65 tahun layak menerima RM200 manakala mereka yang berusia 70 tahun menerima RM300.

“Had pendapatan isi rumah bagi beberapa bantuan turut dinaikkan sehingga RM8,000 sebulan sekali gus membolehkan lebih ramai golongan M40 menikmati manfaat tersebut,” katanya.

Menurut beliau, ramai masyarakat masih kurang memahami syarat kelayakan sesuatu bantuan termasuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Boleh jadi mereka tidak layak kerana pendapatan isi rumah melebihi syarat yang ditetapkan tetapi kalau cukup syarat dan benar-benar layak, saya percaya tiada masalah untuk mereka menerima bantuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast