Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap kepada wartawan selepas menyantuni penduduk ketika hadir ke majlis tahlil dan doa selamat sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kampung Bukit Tembok, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 28 JULAI 2026.

SEREMBAN –  Rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 membuktikan syiar Islam di Negeri Sembilan bukan sahaja terus diperkasakan, malah diterjemahkan melalui pelbagai dasar, peningkatan peruntukan serta pembangunan institusi agama termasuk pembinaan tujuh masjid baharu di seluruh negeri.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (AHAS KIRKHS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, rekod pentadbiran kerajaan negeri menunjukkan dakwaan kononnya Islam dipinggirkan tidak berasaskan fakta.

Menurut beliau, kerajaan negeri yang diterajui Aminuddin memulakan pentadbiran pada 2018 dengan memperuntukkan lebih RM17 juta bagi pembangunan hal ehwal Islam menjadi asas kepada pelbagai inisiatif memperkukuh syiar Islam di Negeri Sembilan.

“Kalau kita hendak menilai sama ada sesebuah kerajaan benar-benar menjaga Islam atau tidak, jangan hanya melihat kepada retorik politik atau persepsi. Lihatlah kepada rekod pelaksanaan, dasar dan peruntukan yang telah diberikan.

“Daripada fakta yang ada, kita dapat melihat usaha memperkasakan institusi Islam diteruskan secara konsisten sejak 2018,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dr Abu Hafiz Salleh Hudin

Beliau berkata, sepanjang empat tahun pertama pentadbiran, lebih RM52 juta diluluskan bagi pembangunan hal ehwal Islam termasuk pembinaan tujuh masjid baharu di beberapa lokasi di Negeri Sembilan.

Katanya, hampir RM18 juta lagi disalurkan bagi menaik taraf masjid dan surau di seluruh negeri bagi memastikan kemudahan ibadah umat Islam terus dipertingkatkan.

Menurut Abu Hafiz, komitmen itu diteruskan apabila peruntukan pembangunan dan pengurusan hal ehwal Islam meningkat kepada lebih RM22 juta pada 2023 sebelum bertambah kepada RM27 juta pada tahun berikutnya.

“Angka-angka ini menunjukkan kerajaan negeri bukan sahaja mengekalkan komitmen terhadap pembangunan Islam malah terus menambah baik peruntukan mengikut keperluan semasa,” ujarnya.

Beliau berkata, pentadbiran Aminuddin turut memberi perhatian kepada kebajikan petugas agama apabila elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), imam, bilal, siak serta pembantu am wanita di masjid dipertingkatkan.

Malah, katanya, buat pertama kali golongan berkenaan turut menikmati perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekali gus mengiktiraf peranan penting mereka dalam memakmurkan institusi masjid.

Dalam bidang pendidikan Islam pula, beliau berkata, hampir RM15 juta diperuntukkan bagi pembangunan Maahad Ahmadi Gemencheh melibatkan pembinaan asrama, surau dan kemudahan baharu, selain pelaksanaan Laluan Pantas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pelajar tahfiz.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil langkah memperkukuh pentadbiran Islam menerusi usaha menambah baik undang-undang pentadbiran Islam dan Mahkamah Syariah Negeri Sembilan.

Selain itu, kerajaan negeri juga meningkatkan kecekapan pengurusan zakat sehingga membolehkan agihan kepada golongan asnaf dilaksanakan dengan lebih tersusun.

Sehubungan itu, Abu Hafiz menggesa rakyat menilai kepimpinan sesebuah kerajaan berdasarkan rekod pelaksanaan dan manfaat yang diterima masyarakat, bukan dipengaruhi dakwaan yang tidak disokong fakta.

“Memartabatkan Islam bukan hanya melalui slogan. Ia diterjemahkan menerusi dasar yang jelas, peruntukan yang mencukupi serta kebajikan kepada institusi agama dan umat Islam yang dilaksanakan secara berterusan,” tegas beliau.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast