SEGAMAT – Seorang warga emas yang memandu secara berbahaya di kilometer 183 Jalan Johor Bahru-Seremban di sini, akhirnya menyerah diri selepas videonya memandu secara berbahaya tular dan nombor flat keretanya berjaya dirakamkan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, lelaki berkenaan tang berusia 70-an hadir ke balai trafik di sini untuk membantu siasatan pada 25 Julai lalu.
“Pemandu kereta jenis Perodua Kancil itu tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat bagi membantu siasatan.
“Polis mengeluarkan saman terhadapnya di bawah Kaedah 6(1) LN166/59 atas kesalahan memotong secara berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tindakan itu katanya, selepas video tular itu yang dalam Facebook pada 25 Julai lalu memaparkan Perodua Kancil perak itu memotong secara berbahaya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Pihak polis komited mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemandu yang gagal mematuhi peraturan jalan raya, khususnya di daerah ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















