KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sedang meneliti untuk melakukan siasatan awam berhubung dakwaan penderaan terhadap anggota Rejimen 22 Komando, Truper Abdul Hamid Talib.
Naib Pengerusi SUHAKAM, Datuk Mariati Robert berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum memutuskan sama ada siasatan awam wajar dijalankan.
“Pegawai penyiasat kami akan meneliti dan mendapatkan maklumat berhubung isu ini termasuk daripada pihak berkuasa termasuk polis, tentera dan pihak perubatan sebelum mengemukakan syor kepada kerajaan.
“Namun keputusan bergantung tahap kepuasan hasil siasatan tersebut dan keluarga mempunyai hak untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.
“Ketelusan itu amat penting supaya mereka mengetahui apa yang telah terjadi,” katanya selepas mengadakan pertemuan dan bersama keluarga mangsa dan penyerahan memorandum di pejabat Suhakam hari ini.

Tambah Mariati, siasatan Suhakam akan memberi tumpuan kepada sama ada berlaku pelanggaran hak asasi manusia, khususnya dari aspek ketelusan.
Terdahulu, TDM menegaskan kebajikan anggota Rejimen 22 Komando, Truper Abdul Hamid Talib, sentiasa menjadi keutamaan, malah tindakan perundangan sudah diambil.
Jelasnya, siasatan dalaman TDM juga telah selesai dengan tindakan tatatertib terhadpa pelaku diambil termasuk proses pemberhentian perkhidmatan yang sedang dilaksanakan.
Untuk rekod, Truper Abdul Hamid merupakan Grup Gerak Khas (GGK) mengalami kecederaan parah ketika bertugas di Rejimen 22 Komando, Kem Iskandar, Mersing, Johor pada 11 Mac.
Abdul Hamid dilaporkan mengalami trauma kepala yang teruk, dengan sebahagian tengkoraknya terpaksa dibuang susulan tahap kecederaan tersebut. – MalaysiaGazette
















