SEREMBAN – Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini memperlihatkan kempen perkauman yang luar biasa dan bersifat identiti.
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PRN Negeri Sembilan kali ini juga hampir sepenuhnya mampu menyemai unsur-unsur memecahbelahkan dalam kalangan masyarakat di negeri itu dan seluruh negara.
Katanya, beliau percaya situasi itu akan menimbulkan dan terus mewujudkan kegelisahan serta perasaan syak wasangka dalam kalangan rakyat, terutamanya antara kaum Melayu dan bukan Melayu.
“Kaedah ini bagi kami merupakan satu hala tuju yang tidak membantu ke arah memajukan Negeri Sembilan mahupun Malaysia.
“Ini kerana isu-isu asas seperti ekonomi tempatan, peluang pekerjaan generasi muda, pendidikan anak-anak, kos sara hidup serta kebajikan rakyat yang seharusnya diberikan fokus telah diabaikan sepanjang kempen pilihan raya terutamanya daripada pihak lawan Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan PH sempena PRN Negeri Sembilan ke-16 di Klana Resort, di sini malam ini.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, PH tewas kepada gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan ke-16 selepas hanya memenangi 11 daripada 36 kerusi yang ditandingi.
Sementara itu, ditanya sama ada kekalahan PH itu disebabkan tsunami `gelombang biru’, Amirudin bagaimanapun menyangkal perkara itu sebaliknya menegaskan ia lebih kepada gelombang politik identiti.
Katanya, PH yakin masih dapat menjelaskan perkara itu kepada penyokong dan rakyat keseluruhan supaya mereka lebih menilai kepada prestasi sesebuah parti, bukannya berdasarkan sentimen perkauman.
“Kita masih ada kira-kira setahun sebelum pilihan raya umum, jadi saya harap seluruh jentera PH dan Perdana Menteri dapat menyusun semula mesej politik supaya rakyat dapat menilai sesebuah parti atau kerajaan berdasarkan nilai, prestasi dan rekod kecemerlangan,” katanya.
Tambah beliau, kempen sepanjang PRN Negeri Sembilan ke-16 juga jelas memperlihatkan elemen dikotomi antara Melayu dan bukan Melayu yang disifatkan beliau harus diperbetulkan pada masa depan.
Dakwanya, politik identiti telah hampir menguasai sebagian besar terutama di kawasan majoriti Melayu, sekali gus menyifatkan ia sebagai trend yang sangat membimbangkan kepada politik nasional.
“Masih lagi ada jalan dan ruang untuk kita perbetulkan perkara ini dan saya harap ada kejujuran politik dalam kalangan semua pendukung dan juga pemain politik supaya kita tidak terus mewujudkan pepecahan dalam masyarakat,” katanya. – aMalaysiaGazette

















kekalahan ini semuanya salah PMX. Sakau sakau sakai
Bagi pihak PMX hasrat untuk hapuskan RASUAH hampir 70% telah berjaya, tapi semasa PRN N9 ini masih ada laporan yg menyogok pengundi..Mana satu nak diikuti…
Bodoh la amir, yang semai politik kebencian dan perkauman tu PH terutama DAP. Dah kalah tu mengaku sajalah kelemahan dan kebodohan sendiri, hidup jangan asyik nak salahkan orang lain belajar cermin diri.