Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas dua pertuduhan mendera anak perempuan mereka sehingga bengkak, lebam dan berbirat selain trauma bulan lalu.

MELAKA – Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas dua pertuduhan mendera anak perempuan mereka sehingga bengkak, lebam dan berbirat selain trauma bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, lelaki berusia 36 tahun dan isterinya 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Difahamkan, dua kejadian terbaru dirotan ibu dan bapanya itu yang bekerja sebagai pemandu lori berpunca apabila mangsa telah menyebabkan adik lelakinya berusia enam tahun menangis serta tidak kemas bilik tidur.

Mengikut pertuduhan, tertuduh lelaki sebagai bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun tiga bulan didapati telah melakukan penganiayaan fizikal dengan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan di sebuah rumah di Presint Selendang, Taman 1 Krubong, dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira jam 7 petang 19 Julai lalu

Isterinya turut berdepan pertuduhan sama terhadap anaknya itu di lokasi sama kira-kira jam 2 petang 21 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini dan Muhammad Qayyum Ramlan menawarkan masing-masing tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000 serta syarat tambahan.

Tertuduh lelaki yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan bekerja sebagai pemandu lori berpendapatan tidak menentu sekitar RM3,000 hingga RM4,000 selain merupakan penyara tunggal keluarga.

Isterinya dalam rayuan memohon jaminan rendah kerana tidak bekerja dan bergantung kepada pendapatan suami untuk menyara keluarga termasuk dua anak berusia enam dan sembilan tahun.

Selain itu, anaknya juga tidak bersekolah sepanjang ditahan polis kerana hanya dia yang menguruskan persekolahan anak selama ini.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Rohatul membenarkan tertuduh lelaki dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala isterinya RM9,000.

Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan tidak membenarkan tertuduh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis setiap bulan.

Kes akan disebut semula 8 September ini untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast