KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menyifatkan kebangkitan `Gelombang Biru’ sebagai satu isyarat jelas terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji kepada rakyat.
Ketua penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bukan berpunca daripada politik perkauman atau undi berdasarkan warna kulit.
Ujar beliau, sebaliknya rakyat membuat pilihan berdasarkan isu kos sara hidup, kenaikan harga barang dan janji yang didakwa tidak ditunaikan.
“Rakyat tidak minta perkara yang luar biasa. Mereka hanya mahu kehidupan yang lebih baik daripada semalam. Jika itu pun gagal diberikan, jangan salahkan rakyat bilamana mereka membuat pilihan alternatif.
“Pilihan raya bukan guessing game. Ia manifestasi suara rakyat. Mereka ubah jadual hujung minggu, datang dari seluruh pelusuk negara semata-mata mahu hantar mesej jelas.
“Jika kerajaan hari ini benar-benar berjaya, mengapa berlaku Gelombang Biru? Mengapa semakin ramai yang berubah fikiran?
“PH kata kemenangan PN-BN di Negeri Sembilan adalah kemenangan politik perkauman. Mudah benar buat kesimpulan.
“Jangan tuduh rakyat bersifat perkauman. Gagal muhasabah diri mahu salahkan rakyat pula,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Muhammad Rafique berkata, kemenangan calon PN, Kamarol Ridzuan Mohd Zain di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi dengan majoriti 16,959 undi sukar dianggap semata-mata berpunca daripada sentimen perkauman.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kekalahan Anthony Loke di DUN Chennah juga boleh dianggap sebagai faktor perkauman apabila sebahagian besar pengundi Cina didakwa tidak lagi memberikan sokongan kepada DAP.
“Tuduh rakyat bersifat perkauman mungkin dapat menenangkan hati sendiri. Tapi ia tidak akan ubah keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
“Dalam demokrasi, rakyat tidak pernah silap memilih. Silapnya pada pemimpin yang enggan faham mengapa rakyat tidak lagi memilih mereka,” katanya.
Ujar Muhammad Rafique, penyatuan Melayu bukan ancaman kepada sesiapa sebaliknya, ancaman sebenar ialah apabila orang Melayu terus berpecah sehingga gagal mempertahankan apa yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau yang juga seorang peguam, hak orang Melayu tidak akan mengurangkan hak kaum lain. Hak kaum lain juga tidak akan hilang hanya kerana orang Melayu memilih untuk bersatu. – MalaysiaGazette
















