SHAH ALAM – Seorang juruterbang Malaysia yang didakwa menyeludup dadah ke Indonesia pada Rabu lalu dipercayai membawanya dari ibu negara sebelum berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah dan Jakarta, Indonesia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan perkara itu berkata, suspek mendaftar masuk bagasi terbabit lebih awal sebelum berlepas.
“Suspek dipercayai ambil dadah itu dari sebuah apartmen di Ampang, Selangor sebelum melakukan early check in bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kemudian ada penerbangan ke Kota Kinabalu (KK) pagi itu.
“Perjalanan dia macam ini, dari KLIA ke KK, kemudian KK ke KLIA sebelum ke Jakarta pada malam itu. Kita juga sah sudah mendapatkan kesan nombor telefon yang dihubungi,” katanya pada pemberita di sini hari ini.
Tambah Hussein, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini sedang bekerjasama dengan Polis Republik Indonesia (POLRI) dan Badan Narkotika Nasional (BNN) Indonesia bagi siasatan lanjut mengenal pasti sindiket dadah berkenaan.
“Kita masih menantikan perlepasan dengan pihak POLRI, tangkapan itu dibuat dengan pihak kastam di lapangan terbang berkenaan, disiasat polis Indonesia. Bila masa sesuai, pegawai kita akan pergi dan temuduga.
“Kita akan meneliti keseluruhan spektrum pengedaran ini dan PDRM tengah melihat bagaimana dia mendapatkan bekalan dalam negara kita, dapat kenal pasti bekalan di Ampang serta sudah dapatkan nombor telefon dihubungi dan sebagainya.
“Kedua, dari aspek bagaimana dia boleh melepasi saringan keselamatan di pintu ke luar negara di KLIA dan ketiga, (ada kaitan) dengan sindiket antarabangsa di Indonesia dan kita tengah bekerjasama dengan POLRI dan BNN.
“Jadi, kita akan lihat keseluruhan spektrum ini untuk ambil tindakan lanjutan sindiket ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Terdahulu, media Indonesia melaporkan seorang juruterbang Malaysia berusia 39 tahun ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta selepas petugas Kastam dan Cukai Indonesia mengesan objek mencurigakan dalam bagasi miliknya ketika pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X di balai ketibaan antarabangsa.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram selain satu bungkusan syabu seberat 2.75 gram dan sisa syabu seberat 0.08 gram dalam paip kaca. – MalaysiaGazette
















