SHAH ALAM – Seorang individu telah dikenal pasti mempunyai kaitan dengan penahanan seorang juruterbang Malaysia yang didakwa menyeludup dadah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia pada Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu berusia 30-an itu merupakan kakitangan yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum juruterbang berkenaan berlepas ke Jakarta.
“Buat masa ini kita sudah kenal pasti seorang individu yang bertugas dalam saringan di pintu masuk dan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan dan kalau ada keperluan kita akan lakukan tangkapan.
“Prosedur di KLIA ini ada beberapa peringkat saringan pertama hingga ke empat, jadi kalau melepasi saringan pertama yang dibuat secara automatik melalui sistem imbasan itu, tidak akan pergi (saringan) kedua.
“Kalau dapat mengesan sesuatu dan pemerhatian autoriti itu, dia akan dibawa ke saringan kedua,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Tambah Hussein, siasatan awal mendapati suspek terbabit telah melepasi kesemua saringan dan imbasan keselamatan di KLIA pada hari kejadian namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia bagaimana kes itu dapat dikesan.
“Seperti mana yang dilaporkan terdahulu, suspek telah melalui semua saringan keselamatan atau imbasan di KLIA termasuk sairngan pertama, bila melepasi saringan itu dan tidak kesan perkara mencurigakan dia melepasi prosedur di KLIA.
“Di Indonesia, kita masih tengah dapatkan maklumat bagaimana mereka boleh kesan menggunakan sistem dan fizikal ataupun sebaliknya,” jelasnya.
Terdahulu, seorang juruterbang Malaysia berusia 39 tahun ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta selepas petugas Kastam dan Cukai Indonesia mengesan objek mencurigakan dalam bagasi miliknya ketika pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X di balai ketibaan antarabangsa.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram, selain satu bungkusan syabu seberat 2.75 gram dan sisa syabu seberat 0.08 gram dalam paip kaca. – MalaysiaGazette
















